Friday, August 3, 2012

Liputan Media: Shima Masih Teringin


SHIMA MASIH TERINGIN
Oleh: Norhadiani Baharom

TAMPAK semacam dia serba tidak kena tatkala didekati wartawan. Pelbagai alasan cuba diberikan dan beberapa kali dia seakan cuba mengelak untuk bergambar.

"Saya sebenarnya tidak ada cerita baru hendak dikongsikan dengan peminat. Hendak cerita pasal album, single baru pun belum ada. Hendak berbual lebih-lebih pun malu," kata penyanyi Teringin dan Luka Dilukai dalam keadaan merendah diri.

Bagaimanapun kurang lebih 10 minit memujuk, Shima yang suatu ketika cukup terkenal dengan lagu Teringin itu beralah lantas sudi untuk ditemubual.

"Saya masih lagi aktif menyanyi. Isnin hingga Sabtu, saya menyanyi sepenuh masa di lounge Hotel Grand Millenium, Bukit Bintang. Bagaimanapun sepanjang Ogos ini kami berehat sebagai tanda menghormati bulan puasa. Insya-Allah, mulai September nanti saya kembali beraksi.

"Selain menyanyi di hotel, sekali-sekala saya memenuhi undangan dari pihak penganjur persembahan. Pembabitan saya sebagai penyanyi di hotel dan pusat hiburan sudah lama, sejak 2000 lagi iaitu selepas kerjaya nyanyian profesional tidak menentu.

"Pendek kata saya tidak pernah memencilkan diri atau bersikap anti-sosial apabila tidak menghadiri majlis-majlis penganugerahan dalam negara. Cuma, saya tidak mendapat undangan jadi lebih baiklah saya menumpukan kerja saya dengan menyanyi di lounge semula" katanya.

Kekal dengan rambut pendek seadanya, susuk tubuh penghibur berusia 43 tahun yang dilahirkan dengan nama Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman ini bagaimanapun sedikit langsing berbanding pertemuan pada 2006. Bertanya keadaannya itu, dia menjawab tidak begitu ada selera makan.

"Saya selalu terlepas makan lebih-lebih lagi sebelah malam. Maklumlah saya takut hendak makan sebelum membuat persembahan kerana bimbang perut mengah. Satu malam, ada tiga set persembahan yang mana setiap satunya selama 45 minit.

"Selesai persembahan, saya bersama teman pemuzik terus berbincang dan memikirkan lagu-lagu yang ingin dipersembahkan malam esok, jadi kesibukkan itu membuatkan saya selalu terlupa soal nak makan," katanya cukup berterima kasih kepada pihak hotel berkenaan kerana memberi kepercayaan padanya untuk berkarya.

Mengimbas latar belakang Shima, dia mula menceburi bidang nyanyian secara serius pada 1988 bagaimanapun namanya melonjak pada 1990-an. Ketika itu dia diberi jolokan penyanyi rock Malaysia sehingga dikatakan pesaing rapat Ratu Rock Ella.

Menariknya mengenai vokal wanita kelahiran Banting, Selangor itu, keupayaannya menyampaikan lagu pop yang bernada tinggi sangat memukau peminat rock tanah air suatu masa dulu. Lagu Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin berjaya membariskan Shima sebagai antara penyanyi paling popular pada era 1990-an sehingga beraksi dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).

Nyanyian bagi Shima sudah sebati dalam hidupnya dan dia membuktikan kecintaannya itu sangat hebat meskipun tanpa single mahupun sebarang album.

"Menyanyi sejak 1988, nyanyian memang sudah sebati dalam diri saya. Jadi, memang tipu kalau saya kata saya sudah serik menyanyi. Sekali menjadi penyanyi, saya tidak dapat lagi berpisah dengan seni.

"Cuma, memang saya teringin rakam lagu baru dan masih mencari lagu-lagu yang sesuai kalau ingin muncul semula di pentas macam dulu. Saya masih menantikan tawaran dan karya yang bagus untuk muncul semula.

"Kalau boleh saya mahu lagu balada yang boleh menepati 'standard' Teringin. Ini kerana setiap kali kemunculan saya dengan lagu baru, peminat tetap membandingkannya dengan Teringin," katanya.

Shima berkata dia juga tidak keberatan untuk melakukan kolaborasi dengan penyanyi muda kerana sedar bahawa ini adalah zaman mereka.

"Kadang-kadang kita harus belajar untuk menerima bahawa kita perlu mencari formula untuk bergabung dengan penyanyi lebih muda.

"Alasan lain kenapa sehingga sekarang saya tidak ada album baru, sebenarnya saya belajar dari kegagalan album terakhir, Ke Pangkuanmu (2007). Ia kurang berjaya dari segi jualan jadi saya kena lebih berhati-hati kalau hendak rakam album lagi.

"Zaman sudah berubah dan begitu juga dengan selera muzik. Kalau hendak buat lagu, saya perlu menimbang karya yang bersesuaian dengan selera muzik generasi hari ini dan pada masa sama selera peminat setia saya," katanya.

Menyorot kehidupan peribadinya, Shima akui dia sudah berkahwin selepas melewati tiga kali episod perceraian namun enggan mendedahkan cerita mengenai suaminya sekarang demi menjaga hati semua pihak.

"Status saya... sudah berkahwin, tapi dengan siapa, maaflah ia tidak boleh diceritakan kerana saya sudah berjanji tidak mahu bercakap mengenai perkara peribadi. Lagipun dalam masa sekarang, biarlah saya meneruskan bidang nyanyian dengan tenang," katanya.


Sumber:
Rap, Harian Metro 
Jumaat, 3 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment