Friday, January 11, 2013

MASIH LIGAT DI PENTAS



Keinginan menghasilkan lagu baru buat peminat sering membuak-buak apabila melihat seorang demi seorang artis seangkatan muncul semula di pentas mengadakan persembahan.

Justeru, tawaran mengadakan persembahan di RTM sedikit masa lalu dijadikan medium bagi penyanyi Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman atau Shima untuk terus memberi khabar kepada peminat bahawa dia masih ligat di pentas.

Selain menerima tawaran mengadakan persembahan di RTM, Shima kini sedang ligat menjayakan persembahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama dua lagi temannya.

Terbaru, penyanyi yang popular dengan lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki ini turut dijemput mengadakan persembahan di konsert penutup jom heboh di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nyata kehadiran Shima pada malam itu mengubat rindu peminatnya yang sudah lama menantikan persembahan daripadanya walaupun dia kelihatan sedikit gugup.

Ditemui pada konsert berkenaan, penyanyi berasal dari Banting, Selangor itu mengakui sedikit gementar berikutan persembahannya disiarkan secara langsung di televisyen.

"Saya masih aktif menyanyi malah sehingga kini masih mengadakan persembahan di hotel. Mungkin tiada berita menarik menyebabkan tiada publisiti untuk saya.

"Disebabkan kurang muncul di kaca televisyen memang saya merasa sedikit gugup dan berlainan sekali, apatah lagi harus menyanyi di hadapan ribuan peminat yang sudah lama tidak menyaksikan persembahan saya.

"Melihat kehadiran ramai rakan artis seangkatan saya yang muncul semula, pastinya saya teringin menjadi seperti mereka, dapat bersama-sama mengadakan persembahan dan bertemu peminat" katanya.

Shima masih hebat

Walaupun usianya sudah meningkat 44 tahun, suara Shima masih kedengaran sama seperti awal kemunculannya pada awal 90-an bersama kumpulannya, Shima and The Boys.

Katanya, tiada apa rahsia yang diamalkan selain latihan dan menjadikan bidang nyanyian sebarang rutin harian menyebabkan peminat sentiasa merindui suara serak-serak basah penyanyi yang turut popular dengan lagu Rasa dan Aku Tetap Aku ini.

Demi peminat dan ingin terus bertapak dalam bidang seni, Shima turut berpeluang menghasilkan album Ke Pangkuanmu pada 2007. Meskipun kurang mendapat sambutan, dia tetap meneruskan karier nyanyian seperti biasa dengan memilih menyanyi di hotel sekitar Kuala Lumpur.

Walaupun beberapa lagu daripada album yang diterbitkan EMI Malaysia itu turut dijadikan lagu tema drama antaranya Susuk dan Bella, nyata itu belum cukup menambat hati pendengar untuk terus mempopularkan album Ke Pangkuanmu hinggalah Shima memilih berdiam diri seketika.

"Memang sedikit kecewa dengan sambutan album itu. Namun saya tahu, peredaran zaman memaksa saya akur dengan cita rasa pendengar yang turut berubah. Justeru, apabila ada niat untuk menghasilkan single baru tahun ini, saya perlu bersedia dari segi material lagu yang bersesuaian mengikut selera pendengar.

"Saya tidak menjanjikan yang hebat-hebat, cukuplah lagu yang ditampilkan menepati selera orang tua dan muda zaman sekarang. Genre yang akan saya bawa masih sama seperti pada awal kemunculan saya dulu.

"Banyak juga komposer menawarkan saya untuk menyanyikan lagu mereka, namun saya masih berfikir-fikir dan ada beberapa nama yang berada dalam fikiran, namun biarkah saya simpan dulu," katanya.

-------------------------------------------

HARIAN METRO
11 Januari 2013

No comments:

Post a Comment