Thursday, March 1, 2018

Liputan Media: Rezeki Terpijak Buat Shima


REZEKI TERPIJAK BUAT SHIMA
Terima tawaran jayakan persembahan rai ibu tunggal sekembali daripada umrah
Oleh: Ridzuan Abdul Rahman

Sekian lama tidak beraksi dalam persembahan besar, Shima meluahkan kegembiraannya apabila berjaya menunaikan impian peganjur untuk menghiburkan peminat pada acara Memori Indah Shima ‘Teringin’ dan Kumpula Eva ‘Bulan Cinta’ di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program anjuran Ahli Fikir World milik Datuk Rohaizat Musa yang dikendalikan K Nur Kasih Events ini bertujuan meraikan ibu tunggal dari Sentul, Gombak serta Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Wilayah Persekutuan dan Selangor (WITUS).

Kehadiran rakan artis seperti Amelina, Rozita Rohaizad, Ayu Damit, Mek Habsah, Pian Cecupak, Ezlynn dan Reyhana turut menyemarakkan semangat bekas naib juara Anugerah Juara Lagu 1991 menerusi lagu Setelah Aku Kau Miliki ini untuk memberikan persembahan terbaiknya pada malam itu.

Melihatkan persembahannya yang mantap, mungkin ramai yang terlupa penyanyi berusia 49 tahun ini sudah lama menghidapi masalah sakit saraf dan sakit belakang.

Bahkan, dia juga berdepan masalah kesihatan sebelum persembahan bermula dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit bagi memastikan persembahan berjalan seperti dirancang.

“Perasaan saya bercampur baur ketika menjayakan persembahan ini. Seronok dan gementar kerana saya sudah lama tak menyanyi untuk persembahan begini. Seram sejuk dibuatnya tapi saya tetap buat yang terbaik bagi seorang penyanyi yang sudah lama tidak menyanyi.

“Sebenarnya ini ibarat rezeki terpijak kerana sebaik pulang mengerjakan umrah pada awal Februari lalu, saya terus didatangi tawaran ini. Alhamdulillah sukar nak dibayangkan seronoknya saya,” katanya.

Shima mengakui kesuntukan masa membuatkan dia tidak dapat mengambil ruang secukupnya untuk membuat latihan bagi persembahan ini.

“Saya hanya berlatih beberapa hari dan ikutkan memang tak cukup, tapi saya perlu memahami situasi semua pihak dan terima apa saja keadaan.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana semua yang hadir terhibur dan turut menyanyi bersama saya pada malam itu. Ia adalah petanda yang saya masih boleh menyanyi dengan baik,” katanya.

Pada persembahan itu, Shima menyanyikan lagu popularnya seperti Teringin, Luka Dilukai, Malam Yang Pasrah dan Setelah Aku Kau Miliki.

“Persembahan ini sememangnya mengembalikan banyak nostalgia. Saya berhasrat kembali aktif selepas ini dan berharap agar dibukakan peluang untuk menyanyi.

“Saya kini berhijab selepas menunaikan umrah dan rasanya ia tak membataskan peluang saya untuk menyanyi,” katanya yang semakin cantik apabila bertudung.

Selain Shima, Kumpulan Eva juga tidak kurang hebatnya apabila turut menggamatkan suasana dengan goyang mereka menerusi lagu Bulan Cinta, 1001 Cinta, Cuma Berbeza, Goyang Dumang dan Sir Gubang Gosir.

Mereka masih lincah menyanyi sambil bergelek di atas pentas sekali gus berjaya menghidupkan suasana di Restoran Rebung.


Menariknya, penonton serta artis yang hadir turut sporting apabila diajak bergelek di atas bersama Eva.


Sumber: 
Rap, Harian Metro 
Khamis, 01 Mac 2018

No comments:

Post a Comment