Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Sunday, April 1, 2018

Liputan Media: Kisah Suami Kelima Shima




'ADA SEBAB TUHAN JODOHKAN KAMI'

BENAR, ini adalah lelaki kelima yang menerima dirinya, sekaligus meletakkan dia kembali dalam tanggugjawab sebagai seorang isteri. Pun, ia bukan alasan kenapa perkahwinan mereka dijalankan secara rahsia pada tahun lalu. Bagi Shima, dia reda dengan takdir berkahwin semula pada usia hampir mencecah 50 tahun ketika ini dan tidak punya sebarang sebab untuk menyembunyikan cerita rahsia itu.

Cuma, barangkali kerana masing-masing pernah melalui episod yang gagal dengan pasangan sebelumnya, maka perkahwinan ini berjalan hanya dalam pengetahuan keluarga terdekat.

"Tidak ada rahsia, tidak ada sedikit pun niat untuk sembunyi kisah perkahwinan ini. Saya juga tidak malu untuk menyatakan ini perkahwinan kelima saya. Kami bernikah hanya untuk keluarga terdekat kerana memang suami memilih untuk tidak terlalu menguar-uarkan cerita perkahwinan kami pada waktu itu," beritahu Shima tentang perkahwinannya dengan lelaki bernama Abdullah Rusli.

Hanya beberapa bulan ini khalayak diberitahu Shima sudah kembali bergelar isteri. Empat perkahwinan terdahulu lenyap ditelan badai dan penyanyi Teringin  ini menganggap perkahwinan kali ini adalah sebagai pelengkap kehidupannya.

Sejujurnya, selepas bercerai dengan suami keempat yang juga warga Kanada pada 2012, dia sudah tidak mengharap kepada sebuah perkahwinan. Tetapi takdir Allah SWT itu indah, sejauh mana pun lari daripada lelaki, akhirnya dia memilih untuk menerima lamaran suaminya sekarang.

"Selepas empat kali berkahwin memang saya fikir sudah tidak mahu lagi berkahwin, mahu terus hidup sendiri sahaja kerana sudah biasa begitu. Saya juga fikir, setelah empat kali bernikah dan masih juga gagal, barangkali sudah tidak ada lagi cinta yang ada untuk saya.

"Tetapi akhirnya Tuhan bagi juga jodoh kepada saya dan ini adalah takdir kehidupan. Saya fikir, tentu ada sebab kenapa Tuhan menjodohkan kami yang masing-masing pernah gagal dalam rumah tangga sebelum ini," katanya lagi yang kini sudah mencecah usia 49 tahun.

Apa yang paling mengharukan Shima adalah kesediaan lelaki yang dipanggil 'Abang' itu menerima keadaan dirinya. Sudahlah dia sekitar lapan tahun lebih berusia, ditambah dengan keadaan kesihatan diri yang semakin terjejas ekoran masalah saraf dan slip disc, Shima terharu kerana masih diberikan peluang menabur bakti sebagai isteri.

"Sebab itu saya rasa amat terharu dan menerima lamaran dia. Walaupun setelah tahu saya ada penyakit tulang belakang dan saraf, saya tidak boleh buat banyak benda di rumah macam isteri-isteri yang lain.

"Tetapi dia terima juga saya seadanya dan bersedia untuk bersama-sama dalam susah dan senang kami. Jadi, sekurang-kurangnya ada teman di rumah dan Insya Allah dia akan jaga saya sampai ke hari tua kami," katanya lagi.


TENANG SELEPAS BERTUDUNG

BARU sahaja kembali dari Tanah Suci pada 6 Februari lalu, pemergian Shima bersama-sama dengan jemaah Umrah Penggiat Seni yang dianjurkan Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih. Terpilah di dalam 23 karyawan seni untuk menunaikan ibadah umrah yang ideanya digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Shima menganggap ia adalah detik paling berharga dalam kehidupannya setelah sekian lama menjadi penyanyi.

Terus mengenakan tudung dan menutup aurat, ini adalah janji Shima dengan Yang Maha Esa sebaik sahaja dia berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah.

"Kalau pijak tanah suci saya akan terus berhijab dan Allah mendengar doa itu dan saya dijemput ke sana atas inisiatif pihak Perdana Menteri sendiri. Alhamdulillah, pulang dari mengerjakan umrah, saya cukup tenang dan ikhlas bertudung sehinggalah ke detik ini," katanya.

Shima melahirkan rasa yang penuh kesyukuran apabila melihat rezekinya di pentas seni masih lagi bertahan. Malah keizinan suami yang terus memberi galakan untuk dia aktif menyanyi dianggap sebagai satu rezeki besaryang tidak ternilai.

"Sekarang hanya mahu melalui hidup dengan tenang. Jika ada tawaran menyanyi, cuba sedaya upaya memenuhi undangan dan selepas itu berehat di rumah dengan kucing-kucing kesayangan.

"Diberi peluang untuk hidup sehingga ke usia hampir 50 tahun seperti sekarang adalah satu bonus. Jadi, saya juga menggunakan peluang yang ada sekarang untuk lebih dekat dengan Allah kerana sedar kita sudah tidak punya banyak waktu untuk terlalu bersenang-senang dengan urusan dunia," katanya penuh makna.


SHIMA JAWAB SIKIT

Apakah Shima berhasrat untuk ada cahaya mata sendiri?
Soal anak, saya lebih suka terbuka, kalau Allah hendak bagi, saya terima. Lebih elok kalau dikatakan bahawa saya tidak merancang apa-apa. Cuma selama ini Allah tidak bagi rezeki untuk saya menimang cahaya mata jadi saya terima seadanya qada' dan qadar. Semua orang ada hasrat hendak ada anak sendiri, tetapi kalau Allah SWT tidak anugerahkan, kita bersyukur saja dengan apa yang ada.

Atau berhasrat ambil anak angkat?
Anak angkat? Sebenarnya macam yang saya cakap, kalau boleh kita hendak anak sendiri. Tetapi saya kena akur dengan keadaan diri sendiri, lebih-lebih lagi dapat ada sakit tulang belakang, doktor pun bagi nasihat supaya janga mengandung, ia akan lebih membebankan penyakit slip disc saya. Tetapi dalam masa sekarang saya pun nak jaga diri sukar, macam mana nak jaga anak?

Baru-baru ini tersebar kisah Shima dan dadah, macam mana boleh timbul tu?
Saya pun tak tahu di mana puncanya. Cerita itu disampaikan dan ditanya kepada saya oleh Sahara Yaacob sewaktu kami di Mekah. Sahara cakap sudah tersebar di kalangan wartawan yang saya ni ambil dadah da ketagihan. Peliklah, bila masa saya ambil dadah? Cuma, saya mengakui kehidupan seharian saya adalah bergantung dengan ubat-ubatan semenjak beberapa tahun lalu. Kalau ambil dadah, macam mana saya boleh gemuk sebegini? Hahaha!

Dalam sehari berapa banyak ubat yang diambil?
Setiap hari ambil ubat sangat banyak. Sepatutnya saya tiga kali sehari, setiap kali tu sebanyak lapan biji. Cuma saya agak takut sebab banyak sangat. Untuk elak buah pinggang saya ambil petang sahaja dan kena minum bayak air. Setiap bulan saya akan ke hospital kerajaan untuk ambil bekalan ubat dan itu adalah rutin saya sejak empat tahun lalu. Bayangkanlah.


Bagaimana untuk hubungi Shima?
SHIMA boleh dihubungi melalui laman facebook rasminya, ku nazhatul shima. Mereka yang mahu menghubungi Shima untuk undangan persembahan pentas pula boleh menghubungi pengurusnya di talian 017-608 5282.


--------------------------------------------------

Sumber:
Pancaindera, Mingguan Malaysia
Ahad, 01 April 2018

Thursday, March 1, 2018

Liputan Media: Rezeki Terpijak Buat Shima


REZEKI TERPIJAK BUAT SHIMA
Terima tawaran jayakan persembahan rai ibu tunggal sekembali daripada umrah
Oleh: Ridzuan Abdul Rahman

Sekian lama tidak beraksi dalam persembahan besar, Shima meluahkan kegembiraannya apabila berjaya menunaikan impian peganjur untuk menghiburkan peminat pada acara Memori Indah Shima ‘Teringin’ dan Kumpula Eva ‘Bulan Cinta’ di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program anjuran Ahli Fikir World milik Datuk Rohaizat Musa yang dikendalikan K Nur Kasih Events ini bertujuan meraikan ibu tunggal dari Sentul, Gombak serta Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Wilayah Persekutuan dan Selangor (WITUS).

Kehadiran rakan artis seperti Amelina, Rozita Rohaizad, Ayu Damit, Mek Habsah, Pian Cecupak, Ezlynn dan Reyhana turut menyemarakkan semangat bekas naib juara Anugerah Juara Lagu 1991 menerusi lagu Setelah Aku Kau Miliki ini untuk memberikan persembahan terbaiknya pada malam itu.

Melihatkan persembahannya yang mantap, mungkin ramai yang terlupa penyanyi berusia 49 tahun ini sudah lama menghidapi masalah sakit saraf dan sakit belakang.

Bahkan, dia juga berdepan masalah kesihatan sebelum persembahan bermula dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit bagi memastikan persembahan berjalan seperti dirancang.

“Perasaan saya bercampur baur ketika menjayakan persembahan ini. Seronok dan gementar kerana saya sudah lama tak menyanyi untuk persembahan begini. Seram sejuk dibuatnya tapi saya tetap buat yang terbaik bagi seorang penyanyi yang sudah lama tidak menyanyi.

“Sebenarnya ini ibarat rezeki terpijak kerana sebaik pulang mengerjakan umrah pada awal Februari lalu, saya terus didatangi tawaran ini. Alhamdulillah sukar nak dibayangkan seronoknya saya,” katanya.

Shima mengakui kesuntukan masa membuatkan dia tidak dapat mengambil ruang secukupnya untuk membuat latihan bagi persembahan ini.

“Saya hanya berlatih beberapa hari dan ikutkan memang tak cukup, tapi saya perlu memahami situasi semua pihak dan terima apa saja keadaan.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana semua yang hadir terhibur dan turut menyanyi bersama saya pada malam itu. Ia adalah petanda yang saya masih boleh menyanyi dengan baik,” katanya.

Pada persembahan itu, Shima menyanyikan lagu popularnya seperti Teringin, Luka Dilukai, Malam Yang Pasrah dan Setelah Aku Kau Miliki.

“Persembahan ini sememangnya mengembalikan banyak nostalgia. Saya berhasrat kembali aktif selepas ini dan berharap agar dibukakan peluang untuk menyanyi.

“Saya kini berhijab selepas menunaikan umrah dan rasanya ia tak membataskan peluang saya untuk menyanyi,” katanya yang semakin cantik apabila bertudung.

Selain Shima, Kumpulan Eva juga tidak kurang hebatnya apabila turut menggamatkan suasana dengan goyang mereka menerusi lagu Bulan Cinta, 1001 Cinta, Cuma Berbeza, Goyang Dumang dan Sir Gubang Gosir.

Mereka masih lincah menyanyi sambil bergelek di atas pentas sekali gus berjaya menghidupkan suasana di Restoran Rebung.


Menariknya, penonton serta artis yang hadir turut sporting apabila diajak bergelek di atas bersama Eva.


Sumber: 
Rap, Harian Metro 
Khamis, 01 Mac 2018

Sunday, February 18, 2018

Liputan Media: Shima 'Buang' Semua Baju Seksi


SHIMA 'BUANG' SEMUA BAJU SEKSI

PERNAH muncul dengan sembilan album solo penuh, bertahun-tahun menyanyi mencari rezeki di pusat hiburan, berlambak-lambaklah koleksi pakaian penyanyi Shima berada dalam almari pakaiannya di rumah. Ada yang singkat, ada yang sendat, ada bertali halus bagai. Semua pun tahu, macam mana imej Shima sebelum ini, kan? Tapi tak apalah, itu dulu. Usahlah kita mengeji atau mengutuk, tak bawa kebaikan pun.

Shima hari ini sudah jauh berubah dan sudahpun memulakan penghijrahan ke arah yang lebih baik dengan bertudung litup dan nampak bertambah sopan dan manis sekali.

Makanya, berpuluh-puluh tahun disimpan dan dijadikan koleksi, baru-baru ini Shima mengambil pendirian untuk 'membuang' kesemua pakaian yang tidak diperlukan lagi itu.

Selepas membuat keputusan untuk berhijrah, penyanyi Luka Dilukai ini nekad untuk 'membuang' semua pakaian lamanya sebelum ini. Bagi Shima, selepas memilih untuk bertudung, dia tidak lagi memerlukan pakaian itu semua kerana tidak akan memakainya lagi.

"Saya sudah hadiahkan kepada orang lain yang memerlukannya. Selepas bertudung, saya rasa jiwa lebih tenang dan memang ada berdoa supaya kekal dalam semangat bertudung sampai bila-bila," beritahu Shima kepada kawan Mary Jane, baru-baru ini.

Shima nekad bertudung selepas berasa selesa dengan menutup aurat selama mengerjakan umrah di tanah suci Mekah pada penghujung Januari lalu. Penyanyi itu rupanya pernah berjanji untuk berubah 360 darjah, sekiranya dia menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan sekarang dia mengotakan janji-janji yang telah dibuat terhadap diri sendiri selepas terpilih bersama program Umrah Penggiat Seni pada 26 Januari hingga 6 Februari lalu.

Dah jadi rezeki, dua hari selepas kembali ke tanah air, Shima turut diundang bersama-sama penyanyi Azza untuk merasmikan Rumah Ngaji Putra dan Pusat Tahfiz dan Anak Yatim Ar-Rasyidin di Temerloh, Pahang.

Nah, apabila kita buat kerja kebaikan, akan banyaklah orang yang dekat dan semoga penghijrahan Shima ini juga bakal membawa kebaikan berpanjangan. Semoga rezeki Shima juga terus bertali arus dengan imej baharu sebegini.


Sumber:
Mary Jane 
Pancaindera, Mingguan Malaysia 
Ahad, 18 Februari 2018

Saturday, February 10, 2018

Liputan Media: Hilang Tawaran Angkara Fitnah


HILANG TAWARAN ANGKARA FITNAH

Mengucap panjang penyanyi rock popular era 1990-an, Shima, 49, apabila difitnah mengambil barang terlarang. Angkara fitnah itu juga, periuk nasi penyanyi yang popular dengan lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki bagaikan tertutup, sejak dua tahun lalu.

Shima pelik apabila tidak lagi menerima undangan menyanyi, sedangkan dia masih aktif. Dalam linangan air mata, Shima memberitahu Raja, dahulu dia tiada jawapan apabila ditanya mengapa sudah tidak lagi menyanyi. Ketika itu, dia terfikirmungkin Allah SWT sedang menguji.

“Saya terkejut apabila ditanya, adakah saya mengambil dadah ketika mengikuti program Umrah Penggiat Seni di Tanah Suci. Saya dimaklumkan, cerita sudah tersebar dalam kalangan penggiat seni. Mengucap panjang saya mendengarnya.

“Baru saya tahu kenapa selama ini, saya tidak lagi menerima undangan menyanyi. Saya tidak ambil barang terlarang, apatah lagi saya sudah berusia. Saya bergantung kepada ubat-ubatan kerana menderita penyakit slip disc dan saraf sejak empat tahun lalu.

“Saya sudah memaafkan mereka yang memfitnah. Walaupun kecewa, saya redha kerana saya tidak mampu menutup mulut manusia daripada berkata perkara tidak benar,” katanya terkilan.

Bahagia jalani hidup biasa

Shima turut memberitahu Raja, dia bahagia dengan perkahwinan kelimanya bersama Abdullah Rosli, 41. Mereka berkahwin pada 2016.

“Mungkin kehidupan kami tidak dilimpahi kemewahan, tetapi kami bahagia. Suami saya orang biasa dan tidak sukakan publisiti. Disebabkan itu, majlis pernikahan kami hanya dihadiri ahli keluarga terdekat,” katanya.

Shima berkata, dia bersyukur dipertemukan dengan lelaki yang sentiasa ada di sisinya ketika diperlukan.

Umum maklum betapa besarnya nama Shima ketika dahulu. Namun, dia memilih jalan hidup sederhana ketika meniti usia emas.

Shima juga sudah berhijab sebaik melangkah di Tanah Suci. Doakan Shima dan suaminya berbahagia di dunia dan akhirat.

RAJA: Terkejut dengan dakwaan Farid Kamil dirinya dianiaya tiga rakan artis.

Sumber:
B*pop, Berita Harian 
Sabtu, 10 Februari 2018

Monday, May 8, 2017

Throwback: Japanese Newspaper Circa 1994


Ini adalah artikel promosi tentang album solo studio kelima Shima, Luka Dilukai yang diterbitkan pada tahun 1994. Artikel ini terkandung dalam akhbar Jepun yang diedarkan untuk komuniti Jepun di Malaysia.

Di penghujung tahun 1994 saya berkerja sebagai pembantu kepada seorang pelajar PhD dari negara matahari terbit di FRIM sementara menunggu keputusan SPM. 

Di bawah adalah terjemahan yang dibuat oleh Cik Yuka Okauchi (bekas majikan saya). Namun begitu muka surat pertama terjemahan tersebut telah hilang. :'(


Thursday, February 16, 2017

Liputan Media: Berikan Saya Kerja



BERIKAN SAYA KERJA
Oleh: MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

SATU ketika dulu, lagu bernada tinggi menjadi kekuatan penyanyi ini, sekali gus memikat peminat muzik rock tanah air.

Lagu Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin antara yang menjadi minat khalayak, sekali gus menempatkan dirinya dalam penyanyi popular era 90-an.

Kini, Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Kamarazzaman, 48, tidak seperti dahulu. Zaman gemilangnya sudah pudar.malah ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza pada 2014, persembahannya yang terlalu pasif sering dikritik.

Perkara itu nampaknya memberi kesan kepada kerjaya Shima secara tidak langsung. Masakan tidak, selepas program itu berakhir , dia langsung tidak menerima sebarang tawaran menyanyi.

Secara umunya, bukan mudah untuk hidup di ibu kota tanpa sebarang pendapatan tetap. Itupun Shima masih mampu bersyukur kerana dia masih mempunyai simpanan.

Sudah pasti perbelanjaan juga harus disekat. Yang penting sahaja didahulukan untuk meneruskan kehidupan.

Tambahan pula dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik, Shima sedar dia perlu kuat untuk meneruskan kehidupan dan bekerja, bukan meraih simpati.

“Saya tahu kehidupan saya bukan seperti dahulu.kesihatan juga tidak menentu tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak berusaha mencari pendapatan sendiri.

“Luahan saya bukan untuk meraih simpati. Tetapi saya mencari peluang pekerjaan sebab saya masih boleh bekerja,” jelasnya.

Walaupun pergerakkannya terbatas dek kesakitan yang dihadapi. Shima tidak mahu orang luar menilai itu sebagai kekurangan kekurangan dirinya.

Bercerita mengenai kehidupannya kini, jelas Shima, dia menderita penyakit slip disc di bahagian tengkuk dan pinggul. Dia pertama kali mengalami slip disc sewaktu di bangku sekolah dan aktif dalam sukan tae kwan do.

“Tetapi masa itu masih remaja. Jadi kesakitan itu tidaklah terasa sangat. Ketika itu kena slip disc di bahagian pinggul,” jelasnya.

Kali kedua dia mengalami slip disc pada 2012 selepas terjatuh di bilik air. Ketika itu dia bekerja sebagai penyanyi di sebuah hotel di ibu kota.

Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan dia mengalami slip disc kedua di bahagian tengkuk pula.

Sejak itu, selain faktor usia yang meningkat, kesakitan kerana slip disc tersebut semakin hari semakin dirasai.

Hingga kini, dia terpaksa bergantung kepada ubat untuk saraf da sakit belakang.

Sebulan sekali dia perlu bertemu doktor untuk melakukan pemeriksaan.

“Ada juga saya bertanya mengenai pembedahan tetapi doktor kata, peluang untuk pulih sepenuhnya adalah 50 peratus sahaja.

“Jadi doktor nasihatkan agar pembedahan tidak dijalankan sebaliknya ikhtiar menggunakan kaedah lain terutama dari segi perubatan,” katanya.

Kos perubatan Shima tidaklah memakan ribuan ringgit tetapi perlukan pendapata yang konsisten untuk menampung perbelanjaan ubat-ubatan bulanannya.

Dengan ketiadaan kerja dan kehidupan yang hanya menggunakan duit simpanan akan menyukarkan kehidupannya pada jangka panjang.

Dia sendiri sedar, kehidupannya tidak seperti zaman mewahnya dahulu. Segala-galanya perlu disekat dan kerja perlu dilakukan untuk mendapat wang. Selagi kudratnya masih mampudikerah. Dia tetap mahu bekerja.


KONSERT BUAT SHIMA

5 Mac ini Shima bakal mengadakan sebuah persembahan istimewa di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Idea mengadakan konsert itu datang daripada penganjur, Sherry Nordin yang merupakan kenalan lama Shima.

“Selepas dapat tahu Shima tidak sihat, timbul idea untuk mengadakan persembahan Shima Kembali.

“Alhamduluillah, proses untuk melaksanakan prijek ini sangat mudah dengan bantuan pinhak hotel juga,” kata Sherry.

Sebanyak 100 tiket keping tiket disediakan untuk persembahan itu dan setakat ini, sudah 30 keping terjual.

Tambah Sherry, tiket dijual dengan harga RM80 dan jumlah jualan tiket itu akan dibahagi dua kepada pihak hotel dan Shima.

“Dengan penjualan tiket itu, kita berharap sedikit sebanyak dapat membantu Shima terutama untuk menampung kos perubatannya,” jelas Sherry.

Shima sendiri berasa teruja untuk menjayakan persembahan itu yang disifatkan sebagai jalan untuk dia kembali mendapatkan pekerjaan.

“Ini adalah showcase pertama yang saya lakukan secara dekat dengan peminat. Malam itu, mereka bebas untuk bertanya apa sahaja kepada saya.

“Lima lagu popular akan saya nyanyikan pada malam itu. Empat lagi lagu adalah lagu Inggeris yang lebih rancak,” katanya yang dijangka turut menyanyikan lagu Sepanjang Malam Keresahan yang jarang dinyanyikan secara langsung kerana bagi Shima, lagu itu agak sukar untuk dibawakan.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan tiket boleh berhubung terus degan Sherry melalui talian 013-7230317.

Sumber:
Mega Hits, Utusan Malaysia
Khamis, 16 Februari 2017

Monday, February 13, 2017

Liputan Media: Shima Tiada Tawaran Menyanyi



SHIMA TIADA TAWARAN MENYANYI

MUNGKIN ramai tidak mengetahui tentang keadaan dan nasib terkini menimpa penyanyi popular pada era 1990-an, Shima yang kini sedang menderita penyakit sakit belakang atau slipped disc.

Pernah menjulang zaman populariti pada usia muda tetapi kehidupannya berubah 360 darjah sejak dua tahun lalu apabila penyakit dihidapi semakin teruk sehingga memaksanya mendapatkan rawatan di hospital setiap bulan.

Bahkan, kehidupan pelantun lagu Setelah Aku Kau Miliki itu semakin terhimpit kerana kehilangan punca pendapatan selepas tidak menerima sebarang undangan nyanyian.

Walaupun pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza musim pertama pada 2014, ironinya, ia langsung tidak membantu penyanyi berusia 48 tahun itu meneruskan survival hidup berbeza rakan seperjuangan lain.

Tampil dengan misi untuk merancakkan dunia hiburan, Shima bakal muncul dengan sebuah persembahan amal, Shima Kembali Gig yang akan berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara pada 5 Mac depan.

Ia merupakan usaha Shima bersama rakan karibnya mengumpul dana bagi meringankan beban selain menjadi platform da publisiti kepadanya untuk kembali dalam industri.

Ikuti kisah pelantun lagu Teringin itu tentang derita penyakit serta perancangan kariernya selepas ini.

KOSMO!: Lama tidak mendegar berita Shima yang dikhabarkan sedang sakit. Boleh kongsikan mengenai perkara tersebut?
SHIMA: Sebenarnya penyakit ini sudah lama iaitu sejak saya di bangku sekolah lagi kerana sangat aktif bersukan dan menyertai taekwando. Bagaimanapun, ia tidak menimbulkan sebarang rasa sakit sehingga saya meningkat tua. Pada 2012, saya pernah terjatuh di dalam bilik tetapi disebabkan sibuk dengan kerjaya, hasrat untuk berjumpa doktor bagi membuat pemeriksaan kerap tertunda. Sehinggalah pada suatu hari ketika membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa penyakit itu ada pada dua bahagian iaitu belakang pinggang da tengkuk. Kesannya, saya selalu rasa sakit pada bahagian belakang selain kebas tangan serta tidak boleh berdiri lama. Memang penyakit ini boleh diatasi dengan pembedahan tetapi ia mempunyai risiko 50/50.

K!: Khabarnya, anda juga tidak menerima sebarang tawaran nyanyian sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimana anda meneruskan kehidupan tanpa ada punca pendapatan?
S: Saya tetap meneruskan kehidupan seperti biasa dengan menghabiskan masa bersama kucing peliharaan di rumah. Walaupun tidak bekerja tetapi mujur mempunyai wang simpanan hasil bekerja semasa menyanyi di hotel sebelum ini. Duit tersebut digunakan untuk membayar kos perubatan dan rawatan di hospital yang memakan belanja sehingga ratusan ringgit.

K!: Boleh kongsikan mengenai penganjuran konsert pada 5 Mac depan?
S: Idea ini datang beberapa minggu lalu bersama seorang rakan baik saya, Sherry Nordin. Dia yang usulkan cadangan kerana mengetahui nasib saya tidak sihat serta tiada tawaran menyanyi. Alhamdulillah, dalam masa singkat kami berjaya mendapatkan tajaan lokasi di Hotel Royale Chulan Damansara. Setakat ini kami masih belum mempunyai sebarang tajaan, tetapi amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menjadi penaja. Untuk berurusan mengenai konsert ini, boleh menghubungi Sherry di talian 013-7230317. Tiket konsert dijual pada harga RM80 dan ia dikeluarkan untuk 100 orang penonton sahaja.

K!: Jadi, adakah anda terganggu dengan tahap kesihatan untuk konsert ini nanti?
S: Insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar kerana bukan saya seorang sahaja akan menyanyi sepanjang satu jam setengah persembahan. Terdapat artis jemputan bagi slot pembukaan dan pertengahan persembahan nanti.

K!: Apakah yang anda harapkan dengan pernganjuran konsert amal ini?
S: Tidak banyak yang saya harapkan melainkan ia boleh menjadi publisiti kepada orang di luar sana bahawa saya masih ada dalam industi ini. Saya sangat berharap ia membuka peluang dan rezeki buat diri ini.


Sumber: 
Hab Hib, Kosmo 
Isnin, 13 Februari 2017

Sunday, February 12, 2017

Liputan Media: Derita Shima Tak Siapa Tahu


DERITA SHIMA TIADA SIAPA TAHU

WAKTU popular semua orang Nampak tapi bila sudah lama sedikit ramai pula yang buat-buat tak nampak. Sedih juga sebenarnya bila dengar kisah yang berlaku kepada Shima yang popular dengan lagu Teringin ini.

Mary Jane yakin rata-rata peminat di Malaysia ni dah tahu tentang kisah yang berlaku kepada wanita ini yang khabarnya ketiadaan tawaran menyanyi sejak dua tahun yang lalu. Sebaik sahaja menamatkan saingan dalam Gegar Vaganza musim pertama terus senyap sunyi. Kalau kebanyakan penyanyi yang bertanding tak menang tangan dengan pelbagai undangan, Shima pula terperuk di dalam rumah sahaja.

Yang Mary Jane kasihan bila mendapat tahu yang dia turut berhadapan dengan penyakit slip disc kronik. Bila ada masalah tulang belakang macam ni, memang pergerakan terbatas dan dia tak boleh nak buat kerja berat lagi macam orang lain.

Tambah menyedihkan apabila terdapat dua bahagian tulang belakang yang berhadapan dengan masalah slip disc tu. Shima juga khabarnya hanya bergantung kepada ubat-ubatan sejak tiga tahun yang lalu sehingga membuatkan muka dan badannya sembab dan nampak gemuk. Sudahlah tak ada tawaran menyanyi, terpaksa pula menanggung bil ubat-ubatan saban bulan. Aduh, sedih pula Mary Jane dengar.

Namun begitu nasib Shima baik apabila ada pihak mahu dia mengadakan persembahan Shima Kembali Charity Gig pada 5 Mac hadapan di hotel Royale Chulan Damansara. Setiap kutipan tiket akan diserahkan kepada penyanyi itu bagi menampung hidupnya.

Apa tunggu lagi? Ini masa untuk memberikan sokongan.


Sumber: 
Pancaindera, Mingguan Malaysia 
Ahad, 12 Februari 2017

Friday, January 11, 2013

Liputan Media: Masih Ligat Di Pentas



Keinginan menghasilkan lagu baru buat peminat sering membuak-buak apabila melihat seorang demi seorang artis seangkatan muncul semula di pentas mengadakan persembahan.

Justeru, tawaran mengadakan persembahan di RTM sedikit masa lalu dijadikan medium bagi penyanyi Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman atau Shima untuk terus memberi khabar kepada peminat bahawa dia masih ligat di pentas.

Selain menerima tawaran mengadakan persembahan di RTM, Shima kini sedang ligat menjayakan persembahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama dua lagi temannya.

Terbaru, penyanyi yang popular dengan lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki ini turut dijemput mengadakan persembahan di konsert penutup jom heboh di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nyata kehadiran Shima pada malam itu mengubat rindu peminatnya yang sudah lama menantikan persembahan daripadanya walaupun dia kelihatan sedikit gugup.

Ditemui pada konsert berkenaan, penyanyi berasal dari Banting, Selangor itu mengakui sedikit gementar berikutan persembahannya disiarkan secara langsung di televisyen.

"Saya masih aktif menyanyi malah sehingga kini masih mengadakan persembahan di hotel. Mungkin tiada berita menarik menyebabkan tiada publisiti untuk saya.

"Disebabkan kurang muncul di kaca televisyen memang saya merasa sedikit gugup dan berlainan sekali, apatah lagi harus menyanyi di hadapan ribuan peminat yang sudah lama tidak menyaksikan persembahan saya.

"Melihat kehadiran ramai rakan artis seangkatan saya yang muncul semula, pastinya saya teringin menjadi seperti mereka, dapat bersama-sama mengadakan persembahan dan bertemu peminat" katanya.

Shima masih hebat

Walaupun usianya sudah meningkat 44 tahun, suara Shima masih kedengaran sama seperti awal kemunculannya pada awal 90-an bersama kumpulannya, Shima & The Boys.

Katanya, tiada apa rahsia yang diamalkan selain latihan dan menjadikan bidang nyanyian sebarang rutin harian menyebabkan peminat sentiasa merindui suara serak-serak basah penyanyi yang turut popular dengan lagu Rasa dan Aku Tetap Aku ini.

Demi peminat dan ingin terus bertapak dalam bidang seni, Shima turut berpeluang menghasilkan album Ke Pangkuanmu pada 2007. Meskipun kurang mendapat sambutan, dia tetap meneruskan karier nyanyian seperti biasa dengan memilih menyanyi di hotel sekitar Kuala Lumpur.

Walaupun beberapa lagu daripada album yang diterbitkan EMI Malaysia itu turut dijadikan lagu tema drama antaranya Susuk dan Bella, nyata itu belum cukup menambat hati pendengar untuk terus mempopularkan album Ke Pangkuanmu hinggalah Shima memilih berdiam diri seketika.

"Memang sedikit kecewa dengan sambutan album itu. Namun saya tahu, peredaran zaman memaksa saya akur dengan cita rasa pendengar yang turut berubah. Justeru, apabila ada niat untuk menghasilkan single baru tahun ini, saya perlu bersedia dari segi material lagu yang bersesuaian mengikut selera pendengar.

"Saya tidak menjanjikan yang hebat-hebat, cukuplah lagu yang ditampilkan menepati selera orang tua dan muda zaman sekarang. Genre yang akan saya bawa masih sama seperti pada awal kemunculan saya dulu.

"Banyak juga komposer menawarkan saya untuk menyanyikan lagu mereka, namun saya masih berfikir-fikir dan ada beberapa nama yang berada dalam fikiran, namun biarkah saya simpan dulu," katanya.

Sumber:
Harian Metro
Jumaat, 11 Januari 2013

Friday, September 28, 2012

Liputan Media: Aura 4 Diva Rock


AURA 4 DIVA ROCK
Warner Music Malaysia tampilkan album kompilasi Ella, Shima, Ruhil, Wann
Oleh: Nor Akmar Samudin

SETIAP kali membicarakan mengenai industri muzik rock tempatan, tentu saja akan dikaitkan dengan penyanyi solo atau berkumpulan yang dipelopori oleh golongan lelaki. Begitu ketara sekali betapa muzik rock dimonopoli oleh golongan ini.

Atas faktor jantina, kemunculan Ella dalam kebangkitan muzik rock pada mulanya diragui dan dipandang enteng. Ramai yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi rock wanita.

Namun, berkat kesungguhan dan kebolehannya yang tiada tolok banding, Ella terus mengorak langkah mencipta nama dalm industri muzik tempatan. Industri muzik tempatan yang kemudiannya berevolusi ini menyaksikan kemunculan barisan ‘rocker’ wanita selepas itu.

Kejayaan Ella kemudian diikuti oleh diva rock yang tidak asing lagi seperti Shima, Ruhil Amani dan Wann. Legasi rocker ini kemudian berkembang lagi dengan kemunculan Dilla Hussein, Ramziela, Aida Agil, Nadia dan ramai lagi sehingga kini.

Kehebatan Ella tidak perlu lagi apabila fenomenanya menjangkau dua dekad. Dia yang juga dikenali sebagai Ratu Rock Malaysia, popular dengan lagu Permata Biru, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan banyak lagi.

Shima pula berjaya memukau peminat muzik rock menerusi kebolehannya menyampaikan lagu bernada tinggi. Antara single yang menaikkan namanya, Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin.

Ruhil pula penyanyi rock pada sekita 80-an yang popular dengan lagu Kawan, Anak Dunia dan Percayalah.

Manakala Wann pernah merakamkan dua album rock pada awal karier nyanyiannya dan penyanyi yang popular pada akhir 80-an dan awal 90-an. Antara lagu popularnya ialah Lamunan Hati, Kau Bagai Cermin, Aku Dalam Teka Teki dan Terlerai Kasih.

Aura 4 diva rock ini mewarnai industri muzik hampir lebih satu dekad. Populariti mereka meletakkan nama dan aura sebaris dengan lagenda rock seperti Amy Search, Awie Wings dan Nash Lefthanded. Di sebalik genre rock yang agak keras, keempat-empat diva ini masih mengekalkan ciri kewanitaan dalam muzik mereka, lantas diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

Khas buat peminat rock tanah air, Warner Music Malaysia kini menampilkan album kompilasi yang julung kalinya menampilkan Ella, Shima, Ruhil dan Wann. Album itu sudah pun berada di pasaran 18 September lalu yang dijual pada harga RM27.90.

Lagu yang dimuatkan di dalam album ini, Pengemis Cinta (Ella), Lamunan Hati (Wann), Permata Biru (Ella), Tak Pernah Aku Sesali (Wann), Kesal (Ella), Terlerai Kasih (Wann), Terminal Cinta (Ella), Kau Bagai Cermin (Wann), Puteri Kota (Ella), Jawapan Yang Kelabu (Wann), Sepi Sekuntum Mawar Merah (Ella), Aku Dalam Teka Teki (Wann), Tiada Tangis Lagi (Ella), Gambaran Hidupku (Wann), Kawan (Ruhil), Setelah Aku Kau Miliki (Shima), Anak Dunia (Ruhil), Optismistik (Shima), Datang Dan Pergi (Ruhil), Di Sebalik Sejuta Wajah (Shima), Percayalah (Ruhil), Aku Wanita (Shima), Hakikat Ini (Ruhil), Teringin (Shima), Kasih Tak Kesampaian (Ruhil), Luka Dilukai (Shima), Cinta Abadi (Ruhil) dan Apa Ku Rasa (Shima).

Sumber:
Rap, Harian Metro
Jumaat, 28 September 2012

Monday, September 10, 2012

Liputan Media: Klarifikasi


PAGI ini saya agak terkejut apabila membaca ruangan pojok dalam bahagian sisipan Rap, Harian Metro. Dalam ruangan SOSEH SOSEH tertera dengan besar tajuk rencana "KENAPA LETAK GAMBAR GEREJA?". Untuk manfaat semua pembaca saya ulang penulisan tersebut: -

1. KETIKA ramai artis Melayu lain tampil untuk bertudung dan mahu mendalami ajaran agama Islam, ada pula seorang artis kita yang nampaknya tidak sensitif langsung atau tidak peka dengan perkara yang menyentuh hal-hal agama.

2. Artis yang SS maksudkan ini bukanlah orang baru dalam bidang hiburan tanah air, sebaliknya cukup berpengalaman dan pernah terkenal suatu ketika dulu.

3. Lebih daripada itu, SS sendiri pun masih mendengar lagu popularnya sampai sekarang.

4. SS dapat cerita ini daripada seorang peminat yang ternampak laman sosial milik artis berkenaan.

5. Kata peminat tadi, dia tidak faham apakah motif sebenar artis itu menulis status terkininya itu dengan meletakkan gambar gereja tempat dia belajar pada zaman tadika dulu termasuk menyanyi.

6. Dengan bangganya artis itu memberitahu kenyataan itu.

7. SS memang tak faham langsung motif artis itu sengaja meletakkan gambar gereja berkenaan.

8. Kalau ikutkan, ada juga kawan SS dulu pernah belajar di sekolah yang berasaskan perjuangan mubaligh Barat tapi mereka tidak pula menulis status yang boleh menjejaskan sensitiviti agama kerana corak pengajian pun sudah lain mengikut kesesuaian Kementerian Pendidikan.

9. Kalaulah tujuan artis itu menulis status sedemikian dengan hasrat untuk memberitahu semua peminat di luar sana bahawa kehebatan vokalnya itu kerana dia ada asas menyanyi ala-ala 'gospel', SS rasa perkara seperti itu tidak perlulah dimegahkan kerana dia bukannya di Hollywood.

10. Dia juga bukan Whitney Houston.

11. Pada pemerhatian SS, ramai lagi penyanyi kita yang ada vokal hebat seperti Jaclyn Victor tapi dia tidak pula menunjuk-nunjuk pernah belajar menyanyi 'gospel' pun.

12. Bagi SS, perbuatan artis terbabit melambangkan semacam jiwanya sedang kacau dan pendek akal kerana dia seorang selebriti Melayu.

13. Janganlah dengan sendirinya mengundang fitnah dan membuat provokasi kepada masyarakat yang meminatinya selama ini.

14. Nasihat SS ini pun untuk kebaikan artis itu kerana dia milik masyarakat dan harap dia sedar.

15. SS: Selalu fikir panjang dulu sebelum setiap gambar dimuat naik ke dalam laman sosial.

-----------

Sekalipun tidak dinyatakan nama artis berkenaan di dalam artikel tersebut, namun saya yakin dan amat tahu bahawa ianya merujuk kepada pemilik nama sebenar Ku Nazhatul Shima binti Ku Kamarazzaman atau lebih dikenali dengan nama pentas Shima.

Untuk manfaat semua pembaca di bawah ini saya letakkan gambar yang menjadi pertikaian di dalam artikel di atas.



Saya tidak menyalahkan wartawan hiburan tersebut menulis artikel berkenaan. Namun sebagai peminat Shima saya rasa terpanggil untuk membuat klarifikasi berkenaan gambar tersebut. Hakikatnya bukanlah menjadi niat Shima jauh sekali untuk berbangga sebagaimana yang terkandung di dalam artikel di atas.

Penerangan gambar juga jelas iaitu "My kindergarten St. Anne's Church Port Klang and this is where all started :) Where I started singing". Terjemahannya "Tadika saya St. Anne's Church Port Klang dan di sinilah segalanya bermula :) Di mana saya mula menyanyi".

Tidak ada satu perkataan pun yang menggambarkan kebanggaan Shima yang beliau ada asas menyanyi ala-ala 'gospel' seperti perenggan 9 artikel di atas. Samada keterangan gambar atau komentar-komentar Shima hanya menceritakan zaman pra sekolahnya di Klang.

Sekiranya pembaca semua mengikuti laman sosial facebook milik Shima seperti saya, pasti pembaca semua tahu Shima akan memuat naik gambar-gambar kenangan sepanjang hidup beliau. Beliau ada memuat naik gambar sewaktu beliau aktif dalam sukan Tae Kwan Do dan mewakili Kedah dalam Sukan Malaysia (Sukma), gambar-gambar beliau bersama artis-artis semasa zaman kegemilangan beliau dan gambar-gambar konsert yang dijayakan olehnya.

Di bawah saya sertakan gambar yang dimuat naik oleh Shima, iaitu gambar sekolah yang dihadirinya semasa zaman sekolah menengah.


Selain itu banyak lagi gambar-gambar tempat yang melakar sejarah sepanjang 43 tahun (lagi 2 hari merupakan hari jadi Shima ke-43) hidup beliau di muka bumi ALLAH ini. Terdapat gambar-gambar lain seperti Makam Sultan Abdul Samad, Banting; Rumah Api Bukit Jugra, Banting; Jeti Kuala Kedah; Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis dan lain-lain yang dimuat naik ke dalam facebook Shima. Maka Tadika St. Anne's hanyalah satu muka surat dari senaskah buku riwayat hidup Shima.

Hasrat Shima hanya satu, untuk berkongsi perjalanan hidupnya bersama peminat-peminat yang terus menyokong karier nyanyiannya sekalipun beliau tidak lagi tersenarai dalam kelompok penyanyi popular di arus perdana. Sebagai peminat setia Shima saya memahami dan menghargai usaha beliau untuk berkongsi. Cuma sebagai manusia mungkin beliau sedikit terlepas pandang tentang yang dinamakan sensitiviti.

Namun setelah dimaklumkan tentang artikel di atas, Shima dengan pantas mengeluarkan gambar tersebut dari laman sosial facebook beliau. Ini menunjukkan beliau seorang yang peka dengan teguran asalkan ianya membina. Kini tiada lagi gambar tadika St. Anne di laman sosial facebook Shima.

Tiga gambar di bawah adalah entry facebook Shima hari ini.


1. Pagi tadi saya memaklumkan Shima tentang artikel di Harian Metro dan maklum balas ringkas beliau: "it's ok I've read it :) Our kindergarten wasn't inside the church, next to it there was or maybe still there...a small building for all children from all races and religions, teachers too :) We were all in the choir :) They built this little stage for us to sing, children's songs not gospel :)".


2. Klarifikasi seterusnya dari Shima bagi mengelakkan salah faham: "Selamat petang semua :) Dulu di St. Anne's Churh tu....( bukan DI DALAM ) di sebelahnya ada satu tadika kecil masa 70'an. Masa tu semua bangsa tak kira India, Cina maupun Melayu belajar ABC dan kami menyanyi dalam koir kindergarten DI LUAR! Kelas agama pun ada, Tiap2 hari ustazah akan datang mengajar kami, cikgu bangsa India , Cina ada dan juga Melayu, jadi jangan pula ada yang mengatakan kami nyanyi gospel ya, kami nyanyi lagu kanak2 le :) Gambar tu saje yang ada di internet, nanti lah saya upload gambar dengan kawan2 yang lain menyanyi di pentas, nyanyi lagu ikan kekek :) Peace! :)".


3. Seperti manusia biasa Shima meneruskan hidup dengan tabah walau apapun dugaan dan cabarannya: "Time for me to get ready for work, no time to judge, to assume or to criticize people :) Peace :)".

Friday, August 3, 2012

Liputan Media: Shima Masih Teringin


SHIMA MASIH TERINGIN
Oleh: Norhadiani Baharom

TAMPAK semacam dia serba tidak kena tatkala didekati wartawan. Pelbagai alasan cuba diberikan dan beberapa kali dia seakan cuba mengelak untuk bergambar.

"Saya sebenarnya tidak ada cerita baru hendak dikongsikan dengan peminat. Hendak cerita pasal album, single baru pun belum ada. Hendak berbual lebih-lebih pun malu," kata penyanyi Teringin dan Luka Dilukai dalam keadaan merendah diri.

Bagaimanapun kurang lebih 10 minit memujuk, Shima yang suatu ketika cukup terkenal dengan lagu Teringin itu beralah lantas sudi untuk ditemubual.

"Saya masih lagi aktif menyanyi. Isnin hingga Sabtu, saya menyanyi sepenuh masa di lounge Hotel Grand Millenium, Bukit Bintang. Bagaimanapun sepanjang Ogos ini kami berehat sebagai tanda menghormati bulan puasa. Insya-Allah, mulai September nanti saya kembali beraksi.

"Selain menyanyi di hotel, sekali-sekala saya memenuhi undangan dari pihak penganjur persembahan. Pembabitan saya sebagai penyanyi di hotel dan pusat hiburan sudah lama, sejak 2000 lagi iaitu selepas kerjaya nyanyian profesional tidak menentu.

"Pendek kata saya tidak pernah memencilkan diri atau bersikap anti-sosial apabila tidak menghadiri majlis-majlis penganugerahan dalam negara. Cuma, saya tidak mendapat undangan jadi lebih baiklah saya menumpukan kerja saya dengan menyanyi di lounge semula" katanya.

Kekal dengan rambut pendek seadanya, susuk tubuh penghibur berusia 43 tahun yang dilahirkan dengan nama Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman ini bagaimanapun sedikit langsing berbanding pertemuan pada 2006. Bertanya keadaannya itu, dia menjawab tidak begitu ada selera makan.

"Saya selalu terlepas makan lebih-lebih lagi sebelah malam. Maklumlah saya takut hendak makan sebelum membuat persembahan kerana bimbang perut mengah. Satu malam, ada tiga set persembahan yang mana setiap satunya selama 45 minit.

"Selesai persembahan, saya bersama teman pemuzik terus berbincang dan memikirkan lagu-lagu yang ingin dipersembahkan malam esok, jadi kesibukkan itu membuatkan saya selalu terlupa soal nak makan," katanya cukup berterima kasih kepada pihak hotel berkenaan kerana memberi kepercayaan padanya untuk berkarya.

Mengimbas latar belakang Shima, dia mula menceburi bidang nyanyian secara serius pada 1988 bagaimanapun namanya melonjak pada 1990-an. Ketika itu dia diberi jolokan penyanyi rock Malaysia sehingga dikatakan pesaing rapat Ratu Rock Ella.

Menariknya mengenai vokal wanita kelahiran Banting, Selangor itu, keupayaannya menyampaikan lagu pop yang bernada tinggi sangat memukau peminat rock tanah air suatu masa dulu. Lagu Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin berjaya membariskan Shima sebagai antara penyanyi paling popular pada era 1990-an sehingga beraksi dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).

Nyanyian bagi Shima sudah sebati dalam hidupnya dan dia membuktikan kecintaannya itu sangat hebat meskipun tanpa single mahupun sebarang album.

"Menyanyi sejak 1988, nyanyian memang sudah sebati dalam diri saya. Jadi, memang tipu kalau saya kata saya sudah serik menyanyi. Sekali menjadi penyanyi, saya tidak dapat lagi berpisah dengan seni.

"Cuma, memang saya teringin rakam lagu baru dan masih mencari lagu-lagu yang sesuai kalau ingin muncul semula di pentas macam dulu. Saya masih menantikan tawaran dan karya yang bagus untuk muncul semula.

"Kalau boleh saya mahu lagu balada yang boleh menepati 'standard' Teringin. Ini kerana setiap kali kemunculan saya dengan lagu baru, peminat tetap membandingkannya dengan Teringin," katanya.

Shima berkata dia juga tidak keberatan untuk melakukan kolaborasi dengan penyanyi muda kerana sedar bahawa ini adalah zaman mereka.

"Kadang-kadang kita harus belajar untuk menerima bahawa kita perlu mencari formula untuk bergabung dengan penyanyi lebih muda.

"Alasan lain kenapa sehingga sekarang saya tidak ada album baru, sebenarnya saya belajar dari kegagalan album terakhir, Ke Pangkuanmu (2007). Ia kurang berjaya dari segi jualan jadi saya kena lebih berhati-hati kalau hendak rakam album lagi.

"Zaman sudah berubah dan begitu juga dengan selera muzik. Kalau hendak buat lagu, saya perlu menimbang karya yang bersesuaian dengan selera muzik generasi hari ini dan pada masa sama selera peminat setia saya," katanya.

Menyorot kehidupan peribadinya, Shima akui dia sudah berkahwin selepas melewati tiga kali episod perceraian namun enggan mendedahkan cerita mengenai suaminya sekarang demi menjaga hati semua pihak.

"Status saya... sudah berkahwin, tapi dengan siapa, maaflah ia tidak boleh diceritakan kerana saya sudah berjanji tidak mahu bercakap mengenai perkara peribadi. Lagipun dalam masa sekarang, biarlah saya meneruskan bidang nyanyian dengan tenang," katanya.


Sumber:
Rap, Harian Metro 
Jumaat, 3 Ogos 2012