Showing posts with label 2018. Show all posts
Showing posts with label 2018. Show all posts

Friday, December 14, 2018

Warong Teringin Update



Alhamdulillah, tengah hari tadi saya berjaya menghantar stand bunting ke Warong Teringin. Setibanya saya sekitar jam 11:50 pagi, Shima dan suami agak santai kerana kebanyakan lauk-pauk jualannya telah habis terjual. 


Untuk hari ini saya memilih ayam masak black pepper dan sayur taugeh goreng air. Nasib saya agak baik kerana ayam masak black pepper hanya tinggal seketul sahaja. Sekiranya saya tiba lewat sedikit sudah pasti ayam tersebut telah sold out seperti kebanyakan lauk lain.

Thursday, December 13, 2018

Warong Teringin: Tripod Stand Bunting





Semenjak Shima mula menyuarakan hasrat membuka gerai makanan, saya berjanji untuk menghadiahkan banner. Beberapa kali saya berbincang dengan Shima mengenai perincian banner tersebut seperti reka bentuk, saiz, warna dan sebagainya. Shima mahukan sesuatu yang ringkas sahaja.

Akhirnya, saya rasakan stand bunting lebih sesuai dengan Warong Teringin. Tengah hari tadi saya menerima panggilan dari kedai tempahan bahawa bunting tersebut telahpun siap. In shaa Allah, jika tiada halangan, esok saya akan menghantar bunting ini ke lokasi Warong Teringin by Shima.

Monday, December 3, 2018

Warong Teringin by Shima @ Lestari Apartment, Damansara Damai


Hari ini merupakan hari pertama penyanyi kesayangan ramai Ku Nazhatul Shima binti Ku Kamarazzaman bersama suaminya Abdullah bin Rusli berniaga makanan. Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, penyanyi yang dikenali dengan nama pentas Shima menamakan gerainya "Warong Teringin".


Warong Teringin memulakan operasi seawal jam 11:00 pagi. Ianya dibuka setiap hari Isnin hingga Sabtu. Makanan yang dijual adalah lauk-pauk Melayu seperti ayam goreng, asam pedas, masak lemak cili padi, goreng berlada, masak kicap, sayur goreng air dan sambal belacan berapi yang sangat istimewa serta air sirap. Kesemua masakan adalah hasil air tangan penyanyi yang cukup popular dengan rentetan lagu-lagu slow rock di tahun 90an. Setakat ini penjualan secara bungkusan sahaja yang ditawarkan di Warong Teringin. 

Saya berkesempatan melawat Shima pada tengah hari tadi. Alhamdulillah sambutan yang diterima agak menggalakkan. Pada jam 1:00 tengah hari masakan asam pedas telah habis terjual. Terdapat banyak permintaan agar Warong Teringin menyediakan perkhidmatan makan di gerai (dine in). 


Untuk hari ini, saya memilih nasi putih bersama ayam masak lemak cili padi dan taugeh goreng air sebagai hidangan makan tengah hari saya. Kelazatan juadah tersebut sememangnya tidak dapat dinafikan. Bakat Shima dalam bidang masakan tidak kurang hebatnya dengan bakatnya di pentas nyanyian.


Saya juga telah mencipta lokasi untuk gerai ini. Carian lokasi gerai ini boleh dibuat menggunakan nama "Warong Teringin by SHIMA". Kedudukan lokasi ini boleh dikongsi melalui aplikasi whatsapps, facebook, instagram dan lain-lain.


Semoga usaha Shima dalam perniagaan makanan mendapat sambutan dan membuahkan hasil yang memberangsangkan. Ada usaha untuk mengembangkan lagi tahap perniagaan ini. Namun ianya masih terlalu awal untuk diperkatakan. Sebagai peminat yang sentiasa menyokong beliau, saya amat kagum dengan keazaman Shima, beliau sedikitpun tidak rasa malu untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Untuk apa memulakan perniagaan dalam skala besar tetapi memulakannya dengan membuat pinjaman.


Kepada semua peminat Shima, semoga sokongan anda diteruskan dengan menjadi pelanggan Warong Teringin. Mari bersama kita tularkan keberadaaan gerai ini dengan menggunakan tanda pagar #WarongTeringin #WarongTeringinByShima.

Wednesday, September 12, 2018

Happy Birthday Gorgeous


Gorgeous, 
Open up your eyes and keep singing your song,
Don't listen to the lies, they're wrong.

As today is your birthday, keep dreaming like you do,
I'm glad to be a friend to a superstar like you.

Your birthday has come again, another year's here,
So keep moving with courage, not fear.

HAPPY BIRTHDAY!

Sunday, April 1, 2018

Liputan Media: Kisah Suami Kelima Shima




'ADA SEBAB TUHAN JODOHKAN KAMI'

BENAR, ini adalah lelaki kelima yang menerima dirinya, sekaligus meletakkan dia kembali dalam tanggugjawab sebagai seorang isteri. Pun, ia bukan alasan kenapa perkahwinan mereka dijalankan secara rahsia pada tahun lalu. Bagi Shima, dia reda dengan takdir berkahwin semula pada usia hampir mencecah 50 tahun ketika ini dan tidak punya sebarang sebab untuk menyembunyikan cerita rahsia itu.

Cuma, barangkali kerana masing-masing pernah melalui episod yang gagal dengan pasangan sebelumnya, maka perkahwinan ini berjalan hanya dalam pengetahuan keluarga terdekat.

"Tidak ada rahsia, tidak ada sedikit pun niat untuk sembunyi kisah perkahwinan ini. Saya juga tidak malu untuk menyatakan ini perkahwinan kelima saya. Kami bernikah hanya untuk keluarga terdekat kerana memang suami memilih untuk tidak terlalu menguar-uarkan cerita perkahwinan kami pada waktu itu," beritahu Shima tentang perkahwinannya dengan lelaki bernama Abdullah Rusli.

Hanya beberapa bulan ini khalayak diberitahu Shima sudah kembali bergelar isteri. Empat perkahwinan terdahulu lenyap ditelan badai dan penyanyi Teringin  ini menganggap perkahwinan kali ini adalah sebagai pelengkap kehidupannya.

Sejujurnya, selepas bercerai dengan suami keempat yang juga warga Kanada pada 2012, dia sudah tidak mengharap kepada sebuah perkahwinan. Tetapi takdir Allah SWT itu indah, sejauh mana pun lari daripada lelaki, akhirnya dia memilih untuk menerima lamaran suaminya sekarang.

"Selepas empat kali berkahwin memang saya fikir sudah tidak mahu lagi berkahwin, mahu terus hidup sendiri sahaja kerana sudah biasa begitu. Saya juga fikir, setelah empat kali bernikah dan masih juga gagal, barangkali sudah tidak ada lagi cinta yang ada untuk saya.

"Tetapi akhirnya Tuhan bagi juga jodoh kepada saya dan ini adalah takdir kehidupan. Saya fikir, tentu ada sebab kenapa Tuhan menjodohkan kami yang masing-masing pernah gagal dalam rumah tangga sebelum ini," katanya lagi yang kini sudah mencecah usia 49 tahun.

Apa yang paling mengharukan Shima adalah kesediaan lelaki yang dipanggil 'Abang' itu menerima keadaan dirinya. Sudahlah dia sekitar lapan tahun lebih berusia, ditambah dengan keadaan kesihatan diri yang semakin terjejas ekoran masalah saraf dan slip disc, Shima terharu kerana masih diberikan peluang menabur bakti sebagai isteri.

"Sebab itu saya rasa amat terharu dan menerima lamaran dia. Walaupun setelah tahu saya ada penyakit tulang belakang dan saraf, saya tidak boleh buat banyak benda di rumah macam isteri-isteri yang lain.

"Tetapi dia terima juga saya seadanya dan bersedia untuk bersama-sama dalam susah dan senang kami. Jadi, sekurang-kurangnya ada teman di rumah dan Insya Allah dia akan jaga saya sampai ke hari tua kami," katanya lagi.


TENANG SELEPAS BERTUDUNG

BARU sahaja kembali dari Tanah Suci pada 6 Februari lalu, pemergian Shima bersama-sama dengan jemaah Umrah Penggiat Seni yang dianjurkan Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih. Terpilah di dalam 23 karyawan seni untuk menunaikan ibadah umrah yang ideanya digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Shima menganggap ia adalah detik paling berharga dalam kehidupannya setelah sekian lama menjadi penyanyi.

Terus mengenakan tudung dan menutup aurat, ini adalah janji Shima dengan Yang Maha Esa sebaik sahaja dia berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah.

"Kalau pijak tanah suci saya akan terus berhijab dan Allah mendengar doa itu dan saya dijemput ke sana atas inisiatif pihak Perdana Menteri sendiri. Alhamdulillah, pulang dari mengerjakan umrah, saya cukup tenang dan ikhlas bertudung sehinggalah ke detik ini," katanya.

Shima melahirkan rasa yang penuh kesyukuran apabila melihat rezekinya di pentas seni masih lagi bertahan. Malah keizinan suami yang terus memberi galakan untuk dia aktif menyanyi dianggap sebagai satu rezeki besaryang tidak ternilai.

"Sekarang hanya mahu melalui hidup dengan tenang. Jika ada tawaran menyanyi, cuba sedaya upaya memenuhi undangan dan selepas itu berehat di rumah dengan kucing-kucing kesayangan.

"Diberi peluang untuk hidup sehingga ke usia hampir 50 tahun seperti sekarang adalah satu bonus. Jadi, saya juga menggunakan peluang yang ada sekarang untuk lebih dekat dengan Allah kerana sedar kita sudah tidak punya banyak waktu untuk terlalu bersenang-senang dengan urusan dunia," katanya penuh makna.


SHIMA JAWAB SIKIT

Apakah Shima berhasrat untuk ada cahaya mata sendiri?
Soal anak, saya lebih suka terbuka, kalau Allah hendak bagi, saya terima. Lebih elok kalau dikatakan bahawa saya tidak merancang apa-apa. Cuma selama ini Allah tidak bagi rezeki untuk saya menimang cahaya mata jadi saya terima seadanya qada' dan qadar. Semua orang ada hasrat hendak ada anak sendiri, tetapi kalau Allah SWT tidak anugerahkan, kita bersyukur saja dengan apa yang ada.

Atau berhasrat ambil anak angkat?
Anak angkat? Sebenarnya macam yang saya cakap, kalau boleh kita hendak anak sendiri. Tetapi saya kena akur dengan keadaan diri sendiri, lebih-lebih lagi dapat ada sakit tulang belakang, doktor pun bagi nasihat supaya janga mengandung, ia akan lebih membebankan penyakit slip disc saya. Tetapi dalam masa sekarang saya pun nak jaga diri sukar, macam mana nak jaga anak?

Baru-baru ini tersebar kisah Shima dan dadah, macam mana boleh timbul tu?
Saya pun tak tahu di mana puncanya. Cerita itu disampaikan dan ditanya kepada saya oleh Sahara Yaacob sewaktu kami di Mekah. Sahara cakap sudah tersebar di kalangan wartawan yang saya ni ambil dadah da ketagihan. Peliklah, bila masa saya ambil dadah? Cuma, saya mengakui kehidupan seharian saya adalah bergantung dengan ubat-ubatan semenjak beberapa tahun lalu. Kalau ambil dadah, macam mana saya boleh gemuk sebegini? Hahaha!

Dalam sehari berapa banyak ubat yang diambil?
Setiap hari ambil ubat sangat banyak. Sepatutnya saya tiga kali sehari, setiap kali tu sebanyak lapan biji. Cuma saya agak takut sebab banyak sangat. Untuk elak buah pinggang saya ambil petang sahaja dan kena minum bayak air. Setiap bulan saya akan ke hospital kerajaan untuk ambil bekalan ubat dan itu adalah rutin saya sejak empat tahun lalu. Bayangkanlah.


Bagaimana untuk hubungi Shima?
SHIMA boleh dihubungi melalui laman facebook rasminya, ku nazhatul shima. Mereka yang mahu menghubungi Shima untuk undangan persembahan pentas pula boleh menghubungi pengurusnya di talian 017-608 5282.


--------------------------------------------------

Sumber:
Pancaindera, Mingguan Malaysia
Ahad, 01 April 2018

Monday, March 12, 2018

Saksikan Temuramah Shima Bersama RTM 1 Dalam Rancangan Diva


Saya baru dihubungi oleh Shima melalui sms. Penyanyi terbaik ini bakal ditemuramah dalam rancangan Diva di saluran RTM 1. Temuramah tersebut akan dirakamkan seperti ketetapan berikut: -

Tarikh: 13hb. Mac 2018
Hari: Selasa
Masa: 11:00 pagi


Ianya akan disiarkan seperti ketetapan berikut: -

Tarikh: 17hb. Mac 2018
Hari: Sabtu
Masa: 12:00 tengah hari
Saluran: RTM 1

Jadi jangan lupa mengikuti perkembangan terkini Shima melalui temuramah ini.

Wednesday, March 7, 2018

Sneak Peek (Behind The Scene): Photography Session with Pancaindera


Petang semalam Shima menghubungi saya, memaklumkan bahawa beliau baru sahaja selesai sesi fotografi dan wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Sesi fotografi tersebut diadakan di butik KeQaseh By Anas Abdullah milik pereka fesyen Anas Abdullah. 

Jika tiada aral, rencana berkenaan akan disiarkan di dalam Pancaindera Ahad ini (11.03.2018) atau Ahad depan (18.03.2018).

Jangan lupa untuk dapatkan naskah anda. Saya akan siarkan rencana berkenaan di blog ini sebaik ianya dikeluarkan.

Jangan lupa juga wawancara Shima bersama Huzz akan disiarkan di dalam majalah URTV keluaran 1 April 2018 yang akan mula dipasarkan pada penghujung Mac ini.



Lokasi sesi fotografi diadakan di butik KeQaseh By Anas Abdullah.



Hasil tangan ajaib pereka fesyen Anas Abdullah dan jurusolek Sentuhan Ct, menjadikan Shima kelihatan sangat anggun.



Bersama orang kuat di belakang tabir, pereka fesyen Anas Abdullah.



Shima kelihatan sangat anggun dengan sentuhan ajaib jurusolek Sentuhan Ct.


Shima bersama adik angkatnya yang setia menemani, Ain Nur Kasih ;p 



Orang yang menjadikan segalanya mungkin, sahabat baik Shima yang merupakan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.