Hari ini merupakan hari pertama penyanyi kesayangan ramai Ku Nazhatul Shima binti Ku Kamarazzaman bersama suaminya Abdullah bin Rusli berniaga makanan. Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, penyanyi yang dikenali dengan nama pentas Shima menamakan gerainya "Warong Teringin".
Warong Teringin memulakan operasi seawal jam 11:00 pagi. Ianya dibuka setiap hari Isnin hingga Sabtu. Makanan yang dijual adalah lauk-pauk Melayu seperti ayam goreng, asam pedas, masak lemak cili padi, goreng berlada, masak kicap, sayur goreng air dan sambal belacan berapi yang sangat istimewa serta air sirap. Kesemua masakan adalah hasil air tangan penyanyi yang cukup popular dengan rentetan lagu-lagu slow rock di tahun 90an. Setakat ini penjualan secara bungkusan sahaja yang ditawarkan di Warong Teringin.
Saya berkesempatan melawat Shima pada tengah hari tadi. Alhamdulillah sambutan yang diterima agak menggalakkan. Pada jam 1:00 tengah hari masakan asam pedas telah habis terjual. Terdapat banyak permintaan agar Warong Teringin menyediakan perkhidmatan makan di gerai (dine in).
Untuk hari ini, saya memilih nasi putih bersama ayam masak lemak cili padi dan taugeh goreng air sebagai hidangan makan tengah hari saya. Kelazatan juadah tersebut sememangnya tidak dapat dinafikan. Bakat Shima dalam bidang masakan tidak kurang hebatnya dengan bakatnya di pentas nyanyian.
Saya juga telah mencipta lokasi untuk gerai ini. Carian lokasi gerai ini boleh dibuat menggunakan nama "Warong Teringin by SHIMA". Kedudukan lokasi ini boleh dikongsi melalui aplikasi whatsapps, facebook, instagram dan lain-lain.
Semoga usaha Shima dalam perniagaan makanan mendapat sambutan dan membuahkan hasil yang memberangsangkan. Ada usaha untuk mengembangkan lagi tahap perniagaan ini. Namun ianya masih terlalu awal untuk diperkatakan. Sebagai peminat yang sentiasa menyokong beliau, saya amat kagum dengan keazaman Shima, beliau sedikitpun tidak rasa malu untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Untuk apa memulakan perniagaan dalam skala besar tetapi memulakannya dengan membuat pinjaman.
Kepada semua peminat Shima, semoga sokongan anda diteruskan dengan menjadi pelanggan Warong Teringin. Mari bersama kita tularkan keberadaaan gerai ini dengan menggunakan tanda pagar #WarongTeringin #WarongTeringinByShima.
No comments:
Post a Comment