Thursday, July 20, 2023

Liputan Media: Mana Duit Saya?



Nasib penyanyi di Malaysia umpama menagih simpati apabila masih ramai yang tidak mendapat royalti daripada lagu mereka sendiri.

Pengalaman menyedihkan itu dilalui oleh penyanyi popular Shima yang mengakui masih berdepan masalah tuntutan royalti yang sepatutnya menjadi haknya.

"Saya tidak pernah terima 1 sen pun duit royalti," katanya ketika dihubungi Kafebuzz.

Menurutnya, dia sebelum ini berusaha membuat tuntutan royalti bagi lagu-lagunya dengan menyertai sebagai ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) pada Disember 2021.

"Kata mereka (RPM), selepas setahun saya jadi ahli, saya boleh tuntut royalti tapi apabila saya menghubungi semula, mereka buat bodoh," katanya.

Penyanyi lagu popular Teringin ini menjelaskan dia mengikut proses tuntutan royalti seperti diminta RPM iaitu memberikan segala butiran lagu dan album termasuk kulit album.

"Mana pergi duit royalti saya? Kenapa mereka senyap?" katanya.

Shima atau nama sebenar Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman berharap RPM tampil memberikan penjelasan untuk bantu mendapatkan royalti.

Jelasnya, dia buat masa ini hanya melakukan perniagaan kecil-kecilan di rumah dengan menjual makanan secara dalam talian.

"Setiap hari saya bangun jam 3 pagi untuk memasak berniaga seperti mi jawa, bakso bagan dan kuetiau sup seafood. Ada pelanggan hubungi untuk order tapi ada ketika tidak ramai pelanggan," katanya.

Shima mengharapkan isu royalti ini dapat diselesaikan dengan segera agar dia mendapat haknya sebagai penyanyi terhadap lagu-lagu nyanyiannya yang seringkali dimainkan di stesen radio dan premis komersial lain.

- Kafebuzz.my

18 Julai 2023

No comments:

Post a Comment