Monday, February 13, 2017

SHIMA TIADA TAWARAN MENYANYI



SHIMA TIADA TAWARAN MENYANYI

MUNGKIN ramai tidak mengetahui tentang keadaan dan nasib terkini menimpa penyanyi popular pada era 1990-an, Shima yang kini sedang menderita penyakit sakit belakang atau slipped disc.

Pernah menjulang zaman populariti pada usia muda tetapi kehidupannya berubah 360 darjah sejak dua tahun lalu apabila penyakit dihidapi semakin teruk sehingga memaksanya mendapatkan rawatan di hospital setiap bulan.

Bahkan, kehidupan pelantun lagu Setelah Aku Kau Miliki itu semakin terhimpit kerana kehilangan punca pendapatan selepas tidak menerima sebarang undangan nyanyian.

Walaupun pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza musim pertama pada 2014, ironinya, ia langsung tidak membantu penyanyi berusia 48 tahun itu meneruskan survival hidup berbeza rakan seperjuangan lain.

Tampil dengan misi untuk merancakkan dunia hiburan, Shima bakal muncul dengan sebuah persembahan amal, Shima Kembali Gig yang akan berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara pada 5 Mac depan.

Ia merupakan usaha Shima bersama rakan karibnya mengumpul dana bagi meringankan beban selain menjadi platform da publisiti kepadanya untuk kembali dalam industri.

Ikuti kisah pelantun lagu Teringin itu tentang derita penyakit serta perancangan kariernya selepas ini.

KOSMO!: Lama tidak mendegar berita Shima yang dikhabarkan sedang sakit. Boleh kongsikan mengenai perkara tersebut?
SHIMA: Sebenarnya penyakit ini sudah lama iaitu sejak saya di bangku sekolah lagi kerana sangat aktif bersukan dan menyertai taekwando. Bagaimanapun, ia tidak menimbulkan sebarang rasa sakit sehingga saya meningkat tua. Pada 2012, saya pernah terjatuh di dalam bilik tetapi disebabkan sibuk dengan kerjaya, hasrat untuk berjumpa doktor bagi membuat pemeriksaan kerap tertunda. Sehinggalah pada suatu hari ketika membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa penyakit itu ada pada dua bahagian iaitu belakang pinggang da tengkuk. Kesannya, saya selalu rasa sakit pada bahagian belakang selain kebas tangan serta tidak boleh berdiri lama. Memang penyakit ini boleh diatasi dengan pembedahan tetapi ia mempunyai risiko 50/50.

K!: Khabarnya, anda juga tidak menerima sebarang tawaran nyanyian sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimana anda meneruskan kehidupan tanpa ada punca pendapatan?
S: Saya tetap meneruskan kehidupan seperti biasa dengan menghabiskan masa bersama kucing peliharaan di rumah. Walaupun tidak bekerja tetapi mujur mempunyai wang simpanan hasil bekerja semasa menyanyi di hotel sebelum ini. Duit tersebut digunakan untuk membayar kos perubatan dan rawatan di hospital yang memakan belanja sehingga ratusan ringgit.

K!: Boleh kongsikan mengenai penganjuran konsert pada 5 Mac depan?
S: Idea ini datang beberapa minggu lalu bersama seorang rakan baik saya, Sherry Nordin. Dia yang usulkan cadangan kerana mengetahui nasib saya tidak sihat serta tiada tawaran menyanyi. Alhamdulillah, dalam masa singkat kami berjaya mendapatkan tajaan lokasi di Hotel Royale Chulan Damansara. Setakat ini kami masih belum mempunyai sebarang tajaan, tetapi amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menjadi penaja. Untuk berurusan mengenai konsert ini, boleh menghubungi Sherry di talian 013-7230317. Tiket konsert dijual pada harga RM80 dan ia dikeluarkan untuk 100 orang penonton sahaja.

K!: Jadi, adakah anda terganggu dengan tahap kesihatan untuk konsert ini nanti?
S: Insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar kerana bukan saya seorang sahaja akan menyanyi sepanjang satu jam setengah persembahan. Terdapat artis jemputan bagi slot pembukaan dan pertengahan persembahan nanti.

K!: Apakah yang anda harapkan dengan pernganjuran konsert amal ini?
S: Tidak banyak yang saya harapkan melainkan ia boleh menjadi publisiti kepada orang di luar sana bahawa saya masih ada dalam industi ini. Saya sangat berharap ia membuka peluang dan rezeki buat diri ini.


Sumber: Hab Hib, Kosmo – Isnin 13.02.2017

No comments:

Post a Comment