Friday, September 28, 2012

Liputan Media: Aura 4 Diva Rock


AURA 4 DIVA ROCK
Warner Music Malaysia tampilkan album kompilasi Ella, Shima, Ruhil, Wann
Oleh: Nor Akmar Samudin

SETIAP kali membicarakan mengenai industri muzik rock tempatan, tentu saja akan dikaitkan dengan penyanyi solo atau berkumpulan yang dipelopori oleh golongan lelaki. Begitu ketara sekali betapa muzik rock dimonopoli oleh golongan ini.

Atas faktor jantina, kemunculan Ella dalam kebangkitan muzik rock pada mulanya diragui dan dipandang enteng. Ramai yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi rock wanita.

Namun, berkat kesungguhan dan kebolehannya yang tiada tolok banding, Ella terus mengorak langkah mencipta nama dalm industri muzik tempatan. Industri muzik tempatan yang kemudiannya berevolusi ini menyaksikan kemunculan barisan ‘rocker’ wanita selepas itu.

Kejayaan Ella kemudian diikuti oleh diva rock yang tidak asing lagi seperti Shima, Ruhil Amani dan Wann. Legasi rocker ini kemudian berkembang lagi dengan kemunculan Dilla Hussein, Ramziela, Aida Agil, Nadia dan ramai lagi sehingga kini.

Kehebatan Ella tidak perlu lagi apabila fenomenanya menjangkau dua dekad. Dia yang juga dikenali sebagai Ratu Rock Malaysia, popular dengan lagu Permata Biru, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan banyak lagi.

Shima pula berjaya memukau peminat muzik rock menerusi kebolehannya menyampaikan lagu bernada tinggi. Antara single yang menaikkan namanya, Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin.

Ruhil pula penyanyi rock pada sekita 80-an yang popular dengan lagu Kawan, Anak Dunia dan Percayalah.

Manakala Wann pernah merakamkan dua album rock pada awal karier nyanyiannya dan penyanyi yang popular pada akhir 80-an dan awal 90-an. Antara lagu popularnya ialah Lamunan Hati, Kau Bagai Cermin, Aku Dalam Teka Teki dan Terlerai Kasih.

Aura 4 diva rock ini mewarnai industri muzik hampir lebih satu dekad. Populariti mereka meletakkan nama dan aura sebaris dengan lagenda rock seperti Amy Search, Awie Wings dan Nash Lefthanded. Di sebalik genre rock yang agak keras, keempat-empat diva ini masih mengekalkan ciri kewanitaan dalam muzik mereka, lantas diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

Khas buat peminat rock tanah air, Warner Music Malaysia kini menampilkan album kompilasi yang julung kalinya menampilkan Ella, Shima, Ruhil dan Wann. Album itu sudah pun berada di pasaran 18 September lalu yang dijual pada harga RM27.90.

Lagu yang dimuatkan di dalam album ini, Pengemis Cinta (Ella), Lamunan Hati (Wann), Permata Biru (Ella), Tak Pernah Aku Sesali (Wann), Kesal (Ella), Terlerai Kasih (Wann), Terminal Cinta (Ella), Kau Bagai Cermin (Wann), Puteri Kota (Ella), Jawapan Yang Kelabu (Wann), Sepi Sekuntum Mawar Merah (Ella), Aku Dalam Teka Teki (Wann), Tiada Tangis Lagi (Ella), Gambaran Hidupku (Wann), Kawan (Ruhil), Setelah Aku Kau Miliki (Shima), Anak Dunia (Ruhil), Optismistik (Shima), Datang Dan Pergi (Ruhil), Di Sebalik Sejuta Wajah (Shima), Percayalah (Ruhil), Aku Wanita (Shima), Hakikat Ini (Ruhil), Teringin (Shima), Kasih Tak Kesampaian (Ruhil), Luka Dilukai (Shima), Cinta Abadi (Ruhil) dan Apa Ku Rasa (Shima).

Sumber:
Rap, Harian Metro
Jumaat, 28 September 2012

Monday, September 10, 2012

Liputan Media: Klarifikasi


PAGI ini saya agak terkejut apabila membaca ruangan pojok dalam bahagian sisipan Rap, Harian Metro. Dalam ruangan SOSEH SOSEH tertera dengan besar tajuk rencana "KENAPA LETAK GAMBAR GEREJA?". Untuk manfaat semua pembaca saya ulang penulisan tersebut: -

1. KETIKA ramai artis Melayu lain tampil untuk bertudung dan mahu mendalami ajaran agama Islam, ada pula seorang artis kita yang nampaknya tidak sensitif langsung atau tidak peka dengan perkara yang menyentuh hal-hal agama.

2. Artis yang SS maksudkan ini bukanlah orang baru dalam bidang hiburan tanah air, sebaliknya cukup berpengalaman dan pernah terkenal suatu ketika dulu.

3. Lebih daripada itu, SS sendiri pun masih mendengar lagu popularnya sampai sekarang.

4. SS dapat cerita ini daripada seorang peminat yang ternampak laman sosial milik artis berkenaan.

5. Kata peminat tadi, dia tidak faham apakah motif sebenar artis itu menulis status terkininya itu dengan meletakkan gambar gereja tempat dia belajar pada zaman tadika dulu termasuk menyanyi.

6. Dengan bangganya artis itu memberitahu kenyataan itu.

7. SS memang tak faham langsung motif artis itu sengaja meletakkan gambar gereja berkenaan.

8. Kalau ikutkan, ada juga kawan SS dulu pernah belajar di sekolah yang berasaskan perjuangan mubaligh Barat tapi mereka tidak pula menulis status yang boleh menjejaskan sensitiviti agama kerana corak pengajian pun sudah lain mengikut kesesuaian Kementerian Pendidikan.

9. Kalaulah tujuan artis itu menulis status sedemikian dengan hasrat untuk memberitahu semua peminat di luar sana bahawa kehebatan vokalnya itu kerana dia ada asas menyanyi ala-ala 'gospel', SS rasa perkara seperti itu tidak perlulah dimegahkan kerana dia bukannya di Hollywood.

10. Dia juga bukan Whitney Houston.

11. Pada pemerhatian SS, ramai lagi penyanyi kita yang ada vokal hebat seperti Jaclyn Victor tapi dia tidak pula menunjuk-nunjuk pernah belajar menyanyi 'gospel' pun.

12. Bagi SS, perbuatan artis terbabit melambangkan semacam jiwanya sedang kacau dan pendek akal kerana dia seorang selebriti Melayu.

13. Janganlah dengan sendirinya mengundang fitnah dan membuat provokasi kepada masyarakat yang meminatinya selama ini.

14. Nasihat SS ini pun untuk kebaikan artis itu kerana dia milik masyarakat dan harap dia sedar.

15. SS: Selalu fikir panjang dulu sebelum setiap gambar dimuat naik ke dalam laman sosial.

-----------

Sekalipun tidak dinyatakan nama artis berkenaan di dalam artikel tersebut, namun saya yakin dan amat tahu bahawa ianya merujuk kepada pemilik nama sebenar Ku Nazhatul Shima binti Ku Kamarazzaman atau lebih dikenali dengan nama pentas Shima.

Untuk manfaat semua pembaca di bawah ini saya letakkan gambar yang menjadi pertikaian di dalam artikel di atas.



Saya tidak menyalahkan wartawan hiburan tersebut menulis artikel berkenaan. Namun sebagai peminat Shima saya rasa terpanggil untuk membuat klarifikasi berkenaan gambar tersebut. Hakikatnya bukanlah menjadi niat Shima jauh sekali untuk berbangga sebagaimana yang terkandung di dalam artikel di atas.

Penerangan gambar juga jelas iaitu "My kindergarten St. Anne's Church Port Klang and this is where all started :) Where I started singing". Terjemahannya "Tadika saya St. Anne's Church Port Klang dan di sinilah segalanya bermula :) Di mana saya mula menyanyi".

Tidak ada satu perkataan pun yang menggambarkan kebanggaan Shima yang beliau ada asas menyanyi ala-ala 'gospel' seperti perenggan 9 artikel di atas. Samada keterangan gambar atau komentar-komentar Shima hanya menceritakan zaman pra sekolahnya di Klang.

Sekiranya pembaca semua mengikuti laman sosial facebook milik Shima seperti saya, pasti pembaca semua tahu Shima akan memuat naik gambar-gambar kenangan sepanjang hidup beliau. Beliau ada memuat naik gambar sewaktu beliau aktif dalam sukan Tae Kwan Do dan mewakili Kedah dalam Sukan Malaysia (Sukma), gambar-gambar beliau bersama artis-artis semasa zaman kegemilangan beliau dan gambar-gambar konsert yang dijayakan olehnya.

Di bawah saya sertakan gambar yang dimuat naik oleh Shima, iaitu gambar sekolah yang dihadirinya semasa zaman sekolah menengah.


Selain itu banyak lagi gambar-gambar tempat yang melakar sejarah sepanjang 43 tahun (lagi 2 hari merupakan hari jadi Shima ke-43) hidup beliau di muka bumi ALLAH ini. Terdapat gambar-gambar lain seperti Makam Sultan Abdul Samad, Banting; Rumah Api Bukit Jugra, Banting; Jeti Kuala Kedah; Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis dan lain-lain yang dimuat naik ke dalam facebook Shima. Maka Tadika St. Anne's hanyalah satu muka surat dari senaskah buku riwayat hidup Shima.

Hasrat Shima hanya satu, untuk berkongsi perjalanan hidupnya bersama peminat-peminat yang terus menyokong karier nyanyiannya sekalipun beliau tidak lagi tersenarai dalam kelompok penyanyi popular di arus perdana. Sebagai peminat setia Shima saya memahami dan menghargai usaha beliau untuk berkongsi. Cuma sebagai manusia mungkin beliau sedikit terlepas pandang tentang yang dinamakan sensitiviti.

Namun setelah dimaklumkan tentang artikel di atas, Shima dengan pantas mengeluarkan gambar tersebut dari laman sosial facebook beliau. Ini menunjukkan beliau seorang yang peka dengan teguran asalkan ianya membina. Kini tiada lagi gambar tadika St. Anne di laman sosial facebook Shima.

Tiga gambar di bawah adalah entry facebook Shima hari ini.


1. Pagi tadi saya memaklumkan Shima tentang artikel di Harian Metro dan maklum balas ringkas beliau: "it's ok I've read it :) Our kindergarten wasn't inside the church, next to it there was or maybe still there...a small building for all children from all races and religions, teachers too :) We were all in the choir :) They built this little stage for us to sing, children's songs not gospel :)".


2. Klarifikasi seterusnya dari Shima bagi mengelakkan salah faham: "Selamat petang semua :) Dulu di St. Anne's Churh tu....( bukan DI DALAM ) di sebelahnya ada satu tadika kecil masa 70'an. Masa tu semua bangsa tak kira India, Cina maupun Melayu belajar ABC dan kami menyanyi dalam koir kindergarten DI LUAR! Kelas agama pun ada, Tiap2 hari ustazah akan datang mengajar kami, cikgu bangsa India , Cina ada dan juga Melayu, jadi jangan pula ada yang mengatakan kami nyanyi gospel ya, kami nyanyi lagu kanak2 le :) Gambar tu saje yang ada di internet, nanti lah saya upload gambar dengan kawan2 yang lain menyanyi di pentas, nyanyi lagu ikan kekek :) Peace! :)".


3. Seperti manusia biasa Shima meneruskan hidup dengan tabah walau apapun dugaan dan cabarannya: "Time for me to get ready for work, no time to judge, to assume or to criticize people :) Peace :)".

Friday, August 3, 2012

Liputan Media: Shima Masih Teringin


SHIMA MASIH TERINGIN
Oleh: Norhadiani Baharom

TAMPAK semacam dia serba tidak kena tatkala didekati wartawan. Pelbagai alasan cuba diberikan dan beberapa kali dia seakan cuba mengelak untuk bergambar.

"Saya sebenarnya tidak ada cerita baru hendak dikongsikan dengan peminat. Hendak cerita pasal album, single baru pun belum ada. Hendak berbual lebih-lebih pun malu," kata penyanyi Teringin dan Luka Dilukai dalam keadaan merendah diri.

Bagaimanapun kurang lebih 10 minit memujuk, Shima yang suatu ketika cukup terkenal dengan lagu Teringin itu beralah lantas sudi untuk ditemubual.

"Saya masih lagi aktif menyanyi. Isnin hingga Sabtu, saya menyanyi sepenuh masa di lounge Hotel Grand Millenium, Bukit Bintang. Bagaimanapun sepanjang Ogos ini kami berehat sebagai tanda menghormati bulan puasa. Insya-Allah, mulai September nanti saya kembali beraksi.

"Selain menyanyi di hotel, sekali-sekala saya memenuhi undangan dari pihak penganjur persembahan. Pembabitan saya sebagai penyanyi di hotel dan pusat hiburan sudah lama, sejak 2000 lagi iaitu selepas kerjaya nyanyian profesional tidak menentu.

"Pendek kata saya tidak pernah memencilkan diri atau bersikap anti-sosial apabila tidak menghadiri majlis-majlis penganugerahan dalam negara. Cuma, saya tidak mendapat undangan jadi lebih baiklah saya menumpukan kerja saya dengan menyanyi di lounge semula" katanya.

Kekal dengan rambut pendek seadanya, susuk tubuh penghibur berusia 43 tahun yang dilahirkan dengan nama Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman ini bagaimanapun sedikit langsing berbanding pertemuan pada 2006. Bertanya keadaannya itu, dia menjawab tidak begitu ada selera makan.

"Saya selalu terlepas makan lebih-lebih lagi sebelah malam. Maklumlah saya takut hendak makan sebelum membuat persembahan kerana bimbang perut mengah. Satu malam, ada tiga set persembahan yang mana setiap satunya selama 45 minit.

"Selesai persembahan, saya bersama teman pemuzik terus berbincang dan memikirkan lagu-lagu yang ingin dipersembahkan malam esok, jadi kesibukkan itu membuatkan saya selalu terlupa soal nak makan," katanya cukup berterima kasih kepada pihak hotel berkenaan kerana memberi kepercayaan padanya untuk berkarya.

Mengimbas latar belakang Shima, dia mula menceburi bidang nyanyian secara serius pada 1988 bagaimanapun namanya melonjak pada 1990-an. Ketika itu dia diberi jolokan penyanyi rock Malaysia sehingga dikatakan pesaing rapat Ratu Rock Ella.

Menariknya mengenai vokal wanita kelahiran Banting, Selangor itu, keupayaannya menyampaikan lagu pop yang bernada tinggi sangat memukau peminat rock tanah air suatu masa dulu. Lagu Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin berjaya membariskan Shima sebagai antara penyanyi paling popular pada era 1990-an sehingga beraksi dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).

Nyanyian bagi Shima sudah sebati dalam hidupnya dan dia membuktikan kecintaannya itu sangat hebat meskipun tanpa single mahupun sebarang album.

"Menyanyi sejak 1988, nyanyian memang sudah sebati dalam diri saya. Jadi, memang tipu kalau saya kata saya sudah serik menyanyi. Sekali menjadi penyanyi, saya tidak dapat lagi berpisah dengan seni.

"Cuma, memang saya teringin rakam lagu baru dan masih mencari lagu-lagu yang sesuai kalau ingin muncul semula di pentas macam dulu. Saya masih menantikan tawaran dan karya yang bagus untuk muncul semula.

"Kalau boleh saya mahu lagu balada yang boleh menepati 'standard' Teringin. Ini kerana setiap kali kemunculan saya dengan lagu baru, peminat tetap membandingkannya dengan Teringin," katanya.

Shima berkata dia juga tidak keberatan untuk melakukan kolaborasi dengan penyanyi muda kerana sedar bahawa ini adalah zaman mereka.

"Kadang-kadang kita harus belajar untuk menerima bahawa kita perlu mencari formula untuk bergabung dengan penyanyi lebih muda.

"Alasan lain kenapa sehingga sekarang saya tidak ada album baru, sebenarnya saya belajar dari kegagalan album terakhir, Ke Pangkuanmu (2007). Ia kurang berjaya dari segi jualan jadi saya kena lebih berhati-hati kalau hendak rakam album lagi.

"Zaman sudah berubah dan begitu juga dengan selera muzik. Kalau hendak buat lagu, saya perlu menimbang karya yang bersesuaian dengan selera muzik generasi hari ini dan pada masa sama selera peminat setia saya," katanya.

Menyorot kehidupan peribadinya, Shima akui dia sudah berkahwin selepas melewati tiga kali episod perceraian namun enggan mendedahkan cerita mengenai suaminya sekarang demi menjaga hati semua pihak.

"Status saya... sudah berkahwin, tapi dengan siapa, maaflah ia tidak boleh diceritakan kerana saya sudah berjanji tidak mahu bercakap mengenai perkara peribadi. Lagipun dalam masa sekarang, biarlah saya meneruskan bidang nyanyian dengan tenang," katanya.


Sumber:
Rap, Harian Metro 
Jumaat, 3 Ogos 2012