Friday, September 28, 2012

Liputan Media: Aura 4 Diva Rock


AURA 4 DIVA ROCK
Warner Music Malaysia tampilkan album kompilasi Ella, Shima, Ruhil, Wann
Oleh: Nor Akmar Samudin

SETIAP kali membicarakan mengenai industri muzik rock tempatan, tentu saja akan dikaitkan dengan penyanyi solo atau berkumpulan yang dipelopori oleh golongan lelaki. Begitu ketara sekali betapa muzik rock dimonopoli oleh golongan ini.

Atas faktor jantina, kemunculan Ella dalam kebangkitan muzik rock pada mulanya diragui dan dipandang enteng. Ramai yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi rock wanita.

Namun, berkat kesungguhan dan kebolehannya yang tiada tolok banding, Ella terus mengorak langkah mencipta nama dalm industri muzik tempatan. Industri muzik tempatan yang kemudiannya berevolusi ini menyaksikan kemunculan barisan ‘rocker’ wanita selepas itu.

Kejayaan Ella kemudian diikuti oleh diva rock yang tidak asing lagi seperti Shima, Ruhil Amani dan Wann. Legasi rocker ini kemudian berkembang lagi dengan kemunculan Dilla Hussein, Ramziela, Aida Agil, Nadia dan ramai lagi sehingga kini.

Kehebatan Ella tidak perlu lagi apabila fenomenanya menjangkau dua dekad. Dia yang juga dikenali sebagai Ratu Rock Malaysia, popular dengan lagu Permata Biru, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan banyak lagi.

Shima pula berjaya memukau peminat muzik rock menerusi kebolehannya menyampaikan lagu bernada tinggi. Antara single yang menaikkan namanya, Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin.

Ruhil pula penyanyi rock pada sekita 80-an yang popular dengan lagu Kawan, Anak Dunia dan Percayalah.

Manakala Wann pernah merakamkan dua album rock pada awal karier nyanyiannya dan penyanyi yang popular pada akhir 80-an dan awal 90-an. Antara lagu popularnya ialah Lamunan Hati, Kau Bagai Cermin, Aku Dalam Teka Teki dan Terlerai Kasih.

Aura 4 diva rock ini mewarnai industri muzik hampir lebih satu dekad. Populariti mereka meletakkan nama dan aura sebaris dengan lagenda rock seperti Amy Search, Awie Wings dan Nash Lefthanded. Di sebalik genre rock yang agak keras, keempat-empat diva ini masih mengekalkan ciri kewanitaan dalam muzik mereka, lantas diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

Khas buat peminat rock tanah air, Warner Music Malaysia kini menampilkan album kompilasi yang julung kalinya menampilkan Ella, Shima, Ruhil dan Wann. Album itu sudah pun berada di pasaran 18 September lalu yang dijual pada harga RM27.90.

Lagu yang dimuatkan di dalam album ini, Pengemis Cinta (Ella), Lamunan Hati (Wann), Permata Biru (Ella), Tak Pernah Aku Sesali (Wann), Kesal (Ella), Terlerai Kasih (Wann), Terminal Cinta (Ella), Kau Bagai Cermin (Wann), Puteri Kota (Ella), Jawapan Yang Kelabu (Wann), Sepi Sekuntum Mawar Merah (Ella), Aku Dalam Teka Teki (Wann), Tiada Tangis Lagi (Ella), Gambaran Hidupku (Wann), Kawan (Ruhil), Setelah Aku Kau Miliki (Shima), Anak Dunia (Ruhil), Optismistik (Shima), Datang Dan Pergi (Ruhil), Di Sebalik Sejuta Wajah (Shima), Percayalah (Ruhil), Aku Wanita (Shima), Hakikat Ini (Ruhil), Teringin (Shima), Kasih Tak Kesampaian (Ruhil), Luka Dilukai (Shima), Cinta Abadi (Ruhil) dan Apa Ku Rasa (Shima).

Sumber:
Rap, Harian Metro
Jumaat, 28 September 2012

No comments:

Post a Comment