SHIMA 'BUANG' SEMUA BAJU SEKSI
PERNAH muncul dengan sembilan album solo penuh, bertahun-tahun menyanyi mencari rezeki di pusat hiburan, berlambak-lambaklah koleksi pakaian penyanyi Shima berada dalam almari pakaiannya di rumah. Ada yang singkat, ada yang sendat, ada bertali halus bagai. Semua pun tahu, macam mana imej Shima sebelum ini, kan? Tapi tak apalah, itu dulu. Usahlah kita mengeji atau mengutuk, tak bawa kebaikan pun.
Shima hari ini sudah jauh berubah dan sudahpun memulakan penghijrahan ke arah yang lebih baik dengan bertudung litup dan nampak bertambah sopan dan manis sekali.
Makanya, berpuluh-puluh tahun disimpan dan dijadikan koleksi, baru-baru ini Shima mengambil pendirian untuk 'membuang' kesemua pakaian yang tidak diperlukan lagi itu.
Selepas membuat keputusan untuk berhijrah, penyanyi Luka Dilukai ini nekad untuk 'membuang' semua pakaian lamanya sebelum ini. Bagi Shima, selepas memilih untuk bertudung, dia tidak lagi memerlukan pakaian itu semua kerana tidak akan memakainya lagi.
"Saya sudah hadiahkan kepada orang lain yang memerlukannya. Selepas bertudung, saya rasa jiwa lebih tenang dan memang ada berdoa supaya kekal dalam semangat bertudung sampai bila-bila," beritahu Shima kepada kawan Mary Jane, baru-baru ini.
Shima nekad bertudung selepas berasa selesa dengan menutup aurat selama mengerjakan umrah di tanah suci Mekah pada penghujung Januari lalu. Penyanyi itu rupanya pernah berjanji untuk berubah 360 darjah, sekiranya dia menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan sekarang dia mengotakan janji-janji yang telah dibuat terhadap diri sendiri selepas terpilih bersama program Umrah Penggiat Seni pada 26 Januari hingga 6 Februari lalu.
Dah jadi rezeki, dua hari selepas kembali ke tanah air, Shima turut diundang bersama-sama penyanyi Azza untuk merasmikan Rumah Ngaji Putra dan Pusat Tahfiz dan Anak Yatim Ar-Rasyidin di Temerloh, Pahang.
Nah, apabila kita buat kerja kebaikan, akan banyaklah orang yang dekat dan semoga penghijrahan Shima ini juga bakal membawa kebaikan berpanjangan. Semoga rezeki Shima juga terus bertali arus dengan imej baharu sebegini.
Sumber:
Mary Jane
Pancaindera, Mingguan Malaysia
Ahad, 18 Februari 2018
No comments:
Post a Comment