Sunday, February 18, 2018

Liputan Media: Shima 'Buang' Semua Baju Seksi


SHIMA 'BUANG' SEMUA BAJU SEKSI

PERNAH muncul dengan sembilan album solo penuh, bertahun-tahun menyanyi mencari rezeki di pusat hiburan, berlambak-lambaklah koleksi pakaian penyanyi Shima berada dalam almari pakaiannya di rumah. Ada yang singkat, ada yang sendat, ada bertali halus bagai. Semua pun tahu, macam mana imej Shima sebelum ini, kan? Tapi tak apalah, itu dulu. Usahlah kita mengeji atau mengutuk, tak bawa kebaikan pun.

Shima hari ini sudah jauh berubah dan sudahpun memulakan penghijrahan ke arah yang lebih baik dengan bertudung litup dan nampak bertambah sopan dan manis sekali.

Makanya, berpuluh-puluh tahun disimpan dan dijadikan koleksi, baru-baru ini Shima mengambil pendirian untuk 'membuang' kesemua pakaian yang tidak diperlukan lagi itu.

Selepas membuat keputusan untuk berhijrah, penyanyi Luka Dilukai ini nekad untuk 'membuang' semua pakaian lamanya sebelum ini. Bagi Shima, selepas memilih untuk bertudung, dia tidak lagi memerlukan pakaian itu semua kerana tidak akan memakainya lagi.

"Saya sudah hadiahkan kepada orang lain yang memerlukannya. Selepas bertudung, saya rasa jiwa lebih tenang dan memang ada berdoa supaya kekal dalam semangat bertudung sampai bila-bila," beritahu Shima kepada kawan Mary Jane, baru-baru ini.

Shima nekad bertudung selepas berasa selesa dengan menutup aurat selama mengerjakan umrah di tanah suci Mekah pada penghujung Januari lalu. Penyanyi itu rupanya pernah berjanji untuk berubah 360 darjah, sekiranya dia menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan sekarang dia mengotakan janji-janji yang telah dibuat terhadap diri sendiri selepas terpilih bersama program Umrah Penggiat Seni pada 26 Januari hingga 6 Februari lalu.

Dah jadi rezeki, dua hari selepas kembali ke tanah air, Shima turut diundang bersama-sama penyanyi Azza untuk merasmikan Rumah Ngaji Putra dan Pusat Tahfiz dan Anak Yatim Ar-Rasyidin di Temerloh, Pahang.

Nah, apabila kita buat kerja kebaikan, akan banyaklah orang yang dekat dan semoga penghijrahan Shima ini juga bakal membawa kebaikan berpanjangan. Semoga rezeki Shima juga terus bertali arus dengan imej baharu sebegini.


Sumber:
Mary Jane 
Pancaindera, Mingguan Malaysia 
Ahad, 18 Februari 2018

Saturday, February 10, 2018

Liputan Media: Hilang Tawaran Angkara Fitnah


HILANG TAWARAN ANGKARA FITNAH

Mengucap panjang penyanyi rock popular era 1990-an, Shima, 49, apabila difitnah mengambil barang terlarang. Angkara fitnah itu juga, periuk nasi penyanyi yang popular dengan lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki bagaikan tertutup, sejak dua tahun lalu.

Shima pelik apabila tidak lagi menerima undangan menyanyi, sedangkan dia masih aktif. Dalam linangan air mata, Shima memberitahu Raja, dahulu dia tiada jawapan apabila ditanya mengapa sudah tidak lagi menyanyi. Ketika itu, dia terfikirmungkin Allah SWT sedang menguji.

“Saya terkejut apabila ditanya, adakah saya mengambil dadah ketika mengikuti program Umrah Penggiat Seni di Tanah Suci. Saya dimaklumkan, cerita sudah tersebar dalam kalangan penggiat seni. Mengucap panjang saya mendengarnya.

“Baru saya tahu kenapa selama ini, saya tidak lagi menerima undangan menyanyi. Saya tidak ambil barang terlarang, apatah lagi saya sudah berusia. Saya bergantung kepada ubat-ubatan kerana menderita penyakit slip disc dan saraf sejak empat tahun lalu.

“Saya sudah memaafkan mereka yang memfitnah. Walaupun kecewa, saya redha kerana saya tidak mampu menutup mulut manusia daripada berkata perkara tidak benar,” katanya terkilan.

Bahagia jalani hidup biasa

Shima turut memberitahu Raja, dia bahagia dengan perkahwinan kelimanya bersama Abdullah Rosli, 41. Mereka berkahwin pada 2016.

“Mungkin kehidupan kami tidak dilimpahi kemewahan, tetapi kami bahagia. Suami saya orang biasa dan tidak sukakan publisiti. Disebabkan itu, majlis pernikahan kami hanya dihadiri ahli keluarga terdekat,” katanya.

Shima berkata, dia bersyukur dipertemukan dengan lelaki yang sentiasa ada di sisinya ketika diperlukan.

Umum maklum betapa besarnya nama Shima ketika dahulu. Namun, dia memilih jalan hidup sederhana ketika meniti usia emas.

Shima juga sudah berhijab sebaik melangkah di Tanah Suci. Doakan Shima dan suaminya berbahagia di dunia dan akhirat.

RAJA: Terkejut dengan dakwaan Farid Kamil dirinya dianiaya tiga rakan artis.

Sumber:
B*pop, Berita Harian 
Sabtu, 10 Februari 2018

Friday, January 26, 2018

Semoga Segalanya Dipermudahkan


Satu jam dari sekarang, di hari yang penuh barakah ini, Shima bakal berangkat ke tanah suci. Penerbangan yang dijadualkan pada jam 1:00 tengah hari ini akan terus ke Madinah.

Kita doakan semoga semua urusan Shima dan jemaah artis-artis lain yang berjumlah lebih kurang 20 orang (termasuk Zaiton Sameon dan Sahara Yaacob) dipermudahkan. Semoga mereka semua diberi kesihatan untuk menjalankan ibadah umrah dengan sempurna. Semoga Allah swt menerima ibadat mereka.

Amin


Sunday, January 7, 2018

Greatest News of All




Alhamdulillah. Satu berita yang amat mengembirakan... Penyanyi pujaan ramai Shima bakal menjadi tetamu Allah... Nama beliau telah tersenarai untuk mengerjakan umrah pada 26hb. Januari ini. Really good thing to start the new year.

Kita doakan yang terbaik buat Shima. Semoga semua urusan beliau dipermudahkan. Dan semoga semua amal ibadah beliau diterima Yang Maha Esa. Amin.